Penjaja sebak anak dinobat tokoh pelajar cemerlang MAIM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 26 Oktober – Sejuk perut ibu mengandung, hilang lelah bapa yang mengendong, itulah ungkapan sesuai untuk menggambarkan kegembiraan seorang bapa apabila anaknya diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pelajar Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Rosli Abd Manap, 51, berkata, anaknya Sidratul Muntaha merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Kota, Negeri Sembilan, menetap di Taman Seri Melekek, Alor Gajah memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM pada tahun 2021, sekali gus dipilih sebagai tokoh pelajar.

Dia menyifatkan penat lelahnya berpanas di bawah khemah di tepi jalan ketika berniaga hilang dan berganti kegembiraan selepas anaknya dipilih menerima anugerah itu pada Majlis Apresisasi Pelajar MAIM 2022 diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dengan nada sebak, Rosli melafazkan syukur diatas kurniaan itu biarpun Sidratul Muntaha tidak dapat hadir untuk menerima sendiri anugerah itu berikutan sedang mengikuti pengajian di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Sarawak.

“Saya rasa gembira, rasa syukur sebab kejayaan hari ini merupakan hasil usaha dia. Anak saya ini pantang dicabar, saya pernah cabar dan akhirnya dia berjaya buktikan kepada kami.

“Apabila nama dia disebut pengacara majlis saya memang tidak sangka, saya sebak atas kejayaan ini, tapi dia tiada kerana sedang melanjutkan pelajaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, solat merupakan tiang utama dalam dia mendidik tujuh orang anaknya.

“Apa yang penting mereka kena solat dahulu. Saya tidak benarkan anak-anak saya solat lambat ataupun tidak solat langsung kerana itu yang paling utama,” katanya.

Menceritakan peribadi anak keduanya itu, Sidratul merupakan seorang yang patuh akan arahan ibu bapanya.

“Terima kasih atas dorongan yang diberikan MAIM sehingga hari ini, saya ucapkan penghargaan ini kerana mereka banyak membantu kami. Tanpa MAIM saya dan anak tidak mungkin sampai ke sini hari ini,” katanya.

Hasil kejayaan itu dia merupakan antara penerima Anugerah Tokoh Pelajar MAIM SPM 2021 menerima penghargaan disampaikan Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha MAIM, Ikram Ibrahim, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Halim Tawil serta tetamu lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2742
Kongsi :
Previous post Pak cik apam balik lejen ikat selera pelbagai bangsa
Next post Melaka bakal sambut Hari Petugas Pembersihan tahun depan
Ubah saiz-+=