Pak cik apam balik lejen ikat selera pelbagai bangsa

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDARAYA MELAKA – Selepas 40 tahun, apam balik disediakan Syaruddin Sultan Mojo Basar atau popular dengan panggilan ‘Pakcik Apam Balik’ lejen masih mengekalkan rasanya yang asli.

Tidak ada resipi rahsia, tetapi sukatan gula, kacang, jagung dan bancuhan tepung secukup rasa sudah cukup untuk melariskan apam balik disediakan Syaruddin yang kini menginjak usia 80 tahun.

Setiap kali berniaga, Syaruddin akan mengenakan pakaian yang kemas segak seolah-olah mahu ke pejabat bagi memastikan imej perniagaanya sentiasa terjaga selain kelihatan lebih bersih.

 

photo1666248097
APAM balik yang masih kekal dengan rasa asli sejak 40 tahun lalu.Foto: MR. AZLI

Pada awalnya sekeping apam balik dijual cuma 0.80 sen, namun sesuai dengan peredaran zaman makanan itu kini berharga RM4 sekeping.

Namun membayar jumlah itu untuk sekeping apam balik dengan limpahan rasa asli dan penuh dengan inti adalah amat berbaloi.

“Saya mula berniaga sejak tahun 1980-an dan setiap hari boleh jual hingga 200 keping apam balik. Ramai pelanggan masih setia dengan saya kerana mereka berasa puas dengan rasa apam balik dijual.

“Sebagai peniaga saya tidak lokek dan melayan permintaan pelanggan yang mahu kacang, jagung atau gula lebih.

“Setiap hari saya buka gerai dari jam 10 pagi hingga 5 petang, tapi kalau bancuhan habis awal maka operasi hari itu tamat lebih awal,” katnaya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di gerainya di Kampung Jawa di sini, baru-baru ini.

photo1666248244
APAM balik yang diusahakan Syaruddin Sultan Mojo Basar, 80, di Jalan Kee Ann, Kampung Jawa, Melaka. Foto: MR. AZLI

Bercerita lanjut mengenai pengalamannya mengusahakan gerai berkenaan, bapa kepada tiga anak ini bersyukur kerana apam balik dijual mengikat rasa pelbagai bangsa di Negeri Melaka ini.

Bila sebut sahaja pakcik apam balik lejen, ramai pelanggan khusus Melayu, Cina dan India yang tahu lokasi gerai Syaruddin.

“Saya berniaga dengan seikhlas hati, ramai yang datang sini beli berpuas hati kerana apam balik ini tebal, isinya banyak dan harga masih berpatutan.

“Bancuhan tepung juga saya buat sendiri sejak dulu, saya usahakan seorang diri kerana ia adalah minat saya,” katanya lagi.

photo1666248117
APAM balik disediakan Syaruddin mengikat selera pelbagai bangsa.Foto: MR. AZLI

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5708
Kongsi :
Previous post Doa ibu rahsia kejayaan anak
Next post Penjaja sebak anak dinobat tokoh pelajar cemerlang MAIM
Ubah saiz-+=