Dulu ‘bandar mati’, kini Ayer Keroh berseri-seri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 10 Feb – Ayer Keroh yang dahulunya dianggap ‘bandar mati’ pada waktu malam dan hari biasa kini berubah wajah sejak diambil alih Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Daripada sunyi sepi, kawasan itu mula menjadi tumpuan pelancong apabila pelbagai tarikan baharu mula diperkenalkan.

Menurut Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman, sejak ditransformasikan dengan tarikan lokasi ‘instaworthy’ dan tapak perniagaan pada waktu malam, Ayer Keroh kini menjadi antara lokasi tertinggi dikunjungi pelancong.

Ia, katanya, dapat dilihat menerusi rekod di Zoo Melaka yang mencecah 32,800 pengunjung dalam tempoh tiga hari sahaja iaitu ketika Tahun Baharu Cina yang lalu.

Selain itu, ujarnya, Leypark Station yang mula dibuka pada Jan lalu turut merekodkan jumlah pengunjung luar biasa iaitu 3,000 orang dalam sehari menurut data MySejahtera.

“Semua ini dilakukan mengikut buku Rancangan Kawasan Khas (RKK) Zon Pelancongan Ayer Keroh yang telah kita bangunkan sebelum ini yang mana kita merancangan kawasan pelancongan secara khusus mengikut perancangan yang teliti.

“Semua ini kita lakukan demi menjadikan Ayer Keroh sebuah kawasan yang ‘happening’ dan tidak lesu seperti sebelum ini yang mana orang kata bila malam sahaja Ayer Keroh itu sudah ‘mati’,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini.

SHADAN

Mengulas lanjut, Shadan berkata, beberapa tarikan baharu juga akan dibuka tidak lama lagi antaranya sebuah taman bunga di Dataran Sejarah Ayer Keroh yang bakal dihiasi pokok-pokok dan bunga berwarna-warni.

Ujarnya, taman itu juga bakal dihiasi dengan lampu pada waktu malam, yang mana ia sesuai untuk lokasi bergambar.

“Taman ini sudah lebih 90 peratus siap dan kita jangkakan sebelum penghujung Februari ia akan mula dibuka,” ujarnya.

Selain lokasi bergambar, Shadan berkata, sebuah tapak kendera saji (foodtruck) akan turut dibangunkan di sekitar Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Tapak yang mampu menempatkan 10 hingga 15 kendera saji itu juga katanya, mampu memberi peluang kepada peniaga-peniaga makanan yang sebelum ini terkesan akibat pandemik COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2966
Kongsi :
Previous post Amaran hujan berterusan di Pahang, Johor – MetMalaysia
Next post Melaka, Jakarta sepakat jalin kerjasama ekonomi – Muhammad Jailani
Ubah saiz-+=