Melaka, Jakarta sepakat jalin kerjasama ekonomi – Muhammad Jailani

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 10Feb – Pelbagai peluang kerjasama dalam bidang pelancongan, kesenian, kebudayaan dan pelaburan berpotensi untuk direalisasikan hasil lawatan EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis ke Jakarta, Indonesia.

Perkara itu antara yang disentuh Muhammad Jailani ketika mengadakan Kunjung Hormat dan Perbincangan Bersama Yang Terhormat Wakil Gubernur Provinsi DKI Jakarta Ir. H. Ahmad Riza Patria di Balai Kota Jakarta.

Muhammad Jailani berkata, dalam pertemuan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Melaka menawarkan pakej percutian keluarga dan pelancongan kesihatan.

“Mengikut rekod pada 2019 rakyat Indonesia menjadi pelancong asing paling ramai melawat Melaka dengan 552,413 orang.

“Kita turut menawarkan perkhidmatan bas elektrik di Jakarta bagi tujuan pelancongan selain program latihan industri di hotel dan hospital swasta di Melaka untuk pelajar Indonesia.

“Malah kita juga menawarkan lokasi perniagaan khas bagi usahawan-usahawan daripada Jakarta untuk membuka restoran masakan Indonesia di Melaka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Tourism Melaka, hari ini.

Sementara itu Ahmad Riza menyatakan minat untuk belajar daripada Melaka mengenai prosedur untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi Kota Tua, Jakarta yang dilihat mempunyai ciri-ciri yang sama dengan negeri ini.

Selain itu beliau mempelawa pelabur daripada Melaka mengambil peluang dalam perkhidmatan penyediaan bekalan air minuman berikutan hanya 63 peratus sahaja bekalan air bersih ada di Jakarta.

“Peluang pelaburan juga dibuka untuk penyediaan pembekalan gas secara terus ke rumah (pembentungan gas) dengan sasaran 1 juta sambungan dalam masa setahun selain program Pertukaran Budaya antara Jakarta dan Melaka.

“Kita melihat agar pertemuan ini dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara Melaka dan Jakarta, Indonesia dalam pelbagai bidang pelancongan dan pelaburan untuk manfaat kedua-dua belah pihak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post Dulu ‘bandar mati’, kini Ayer Keroh berseri-seri
Next post 2,500 murid Melaka terima bantuan sekolah RM200
Ubah saiz-+=