Ejekan anak ‘tukang sampah’ jadi pembakar semangat

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 9 Ogos – Pernah diejek sebagai anak ‘tukang sampah’ tetapi itu pernah sesekali membuatkan anak muda dari Krubong ini kecewa mahupun berputus asa.

Sebaliknya, Jeffry Jais Jamaludin, 21, bangkit dan membuktikan dirinya mampu berjaya dalam pelajaran sehingga berjaya menyambung pelajaran ke luar negara.

Anak ketiga dari empat adik-beradik itu berkata, meskipun kata-kata itu agak melukakan hatinya namun dia tidak pernah mengadu kepada bapanya Jamaludin Kamis, 59, dan ibunya Aisah Iberahim, 49, kerana tidak mahu membuatkan mereka kecewa atau terasa hati.

Katanya, dia bagaikan sudah lali apabila ada rakan-rakan yang bertindak mengejek pekerjaan ibunya yang bekerja sebagai tukang cuci manakala bapanya pula sebagai pemandu lori di SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment).

“Ejekan mak dan ayah yang bekerja dengan sampah memang selalu digelarkan kepada saya dan ada juga yang kata saya tidak boleh berjaya.

“Berkat kesabaran dan kesungguhan saya belajar Alhamdulillah diberikan rezeki untuk menyambung pelajaran ke luar negara meskipun suatu ketika dahulu ia hanya angan-angan.

“Walaupun gembira dengan pencapaian ini yang dapat membuatkan keluarga terutama ibu dan ayah bangga, tetapi ini baru permulaan malah perjalanan saya masih panjang untuk menghabiskan pelajaran,” katanya ketika ditemui di Pejabat SWM Environment, di sini, hari ini.

photo1691565164
JEFFRY JAIS

Jeffry Jais kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universite Toulouse III Paul Sabatier – IUT A Paul Sabatier, Toulouse, Perancis.

Menurut bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kem Terendak itu, dia sedar bahawa dirinya bukanlah daripada keluarga.

Oleh itu, katanya, sepanjang pengajian di luar negara, dia cuba menguruskan perbelanjaan daripada wang tajaan sebaiknya agar tidak membebani kedua ibu bapanya.

“Buat masa ini perbelanjaan di sana mencukupi malah boleh katakan saya sering memasak sendiri dan dengan duit tajaan juga saya bayar sewa rumah serta kegunaan pelajaran.

“Walaupun begitu emak ada juga kirimkan duit untuk perbelanjaan tetapi saya simpan dan hanya gunakan jika perlu sahaja,” katanya.

Tambah Jeffry Jais, dia sama sekali tidak akan mensia-siakan peluang yang diterimanya, malah dia berjanji untuk memastikan cita-citanya bergelar seorang jurutera suatu hari nanti direalisasikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2654
Kongsi :
Previous post Tukang cuci berjaya hantar anak belajar ke Perancis
Next post Pemilik reda kedai fotokopi dirempuh lori
Ubah saiz-+=