Eksesais Keris Aman II tingkat kemahiran misi pengaman PBB

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Markas Pemerintahan  Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM) menganjurkan Eksesais Keris Aman II 2023 bagi mempersiapkan kemahiran menyertai misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama (J7) dalam kenyataan malam ini memaklumkan eksesais menerusi program Global Peace Operations Initiative (GPOI) itu melibatkan 847 peserta dari 26 negara bermula semalam hingga 26 Ogos ini, di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Eksesais ini dapat meningkatkan kesiagaan dan kemahiran anggota Kontinjen Malaysia MALBATT 850-11 yang akan melaksanakan misi operasi pengaman PBB di Lubnan pada Oktober ini,” menurut kenyataan itu.

Program itu mengadaptasikan senario operasi pengaman PBB di peringkat operasional dan taktikal yang terbahagi kepada tiga aspek iaitu acara latihan pegawai (STE), acara latihan lapangan (FTE) dan Critical Enabler Capability Enhancement (2CE).

Majlis pembukaan eksesais itu disempurnakan oleh Pengarah Latihan Bersama dan Eksesais USINDOPACOM (J7) Brig Jen Michael R. Drowley di Padang Kawad Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Port Dickson.

Turut hadir Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama Mej Jen Datuk Nur Hafis Abdul Karim dan Panglima 1 Briged Brig Jen Mohmad Noorlizam Shamsuddin.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1238
Kongsi :
Previous post Alley Gator juara bola jaring Liga Sukan Komuniti
Next post Lebih 100 rumah terjejas banjir, satu PPS dibuka
Ubah saiz-+=