(Eksklusif) Polis tahan 11 suspek Geng 04, kesan dua lelaki bantu siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Polis Melaka menahan 11 lelaki dipercayai ahli kongsi gelap terbabit mengusung keranda mempamerkan lambang Geng 04 di Taman Cempaka 7 Julai lalu.

Kejadian itu dirakam menerusi video berdurasi 20 saat yang memaparkan perarakan mengusung keranda sebelum rakaman itu tular di laman sosial pada hari sama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, berikutan kejadian itu, pihaknya menyiasat video berkenaan sebelum melakukan beberapa serbuan di sekitar negeri ini.

Katanya, hasil serbuan itu polis menahan 11 lelaki berusia antara 24 hingga 42 tahun serta beberapa pakaian dipakai individu terlibat dan telefon bimbit milik seorang daripada suspek terbabit.

MOHD SUKRI menunjukkan video upacara mengusung keranda mempamerkan lambang Geng 04 yang tular 7 Julai lalu.

“Siasatan awal semua suspek dipercayai melakukan kegiatan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan itu yang meninggal dunia.

“Lelaki terbabit maut akibat kemalangan motosikal di Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) Bukit Lintang pada 6 Julai lalu.

“Berikutan itu, Op Cantas dilancarkan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) JSJ negeri dan berjaya mengesan dan menahan semua suspek dipercayai terbabit kongsi gelap Geng 04,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya terus mengesan dua lelaki berusia 25 dan 37 tahun bagi membantu siasatan.

“Dua lelaki berkenaan dikenali sebagai S. Prasant, 25, beralamat di Bukit Balai, Durian Tunggal dan S. Thilakkumar, 37 beralamat di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bagi membantu siasatan,” katanya.

TANGKAP layar video tular menunjukkan sekumpulan lelaki mengusung keranda mempunyai lambang Geng 04.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, semua suspek yang ditahan berasingan direman sehingga 17 Julai ini.

Jelasnya, berikutan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 50 (3) dan Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966.

“Polis Melaka memandang serius sebarang aktiviti kongsi gelap dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak memasukkan elemen kongsi gelap dalam apa-apa aktiviti keagamaan, persatuan atau upacara keagamaan yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Tiga pelajar, dua penganggur didakwa berhimpun tanpa memakai pelitup muka
Next post Dua syarikat dikompaun RM30,000 langgar kebenaran operasi
Ubah saiz-+=