Dua syarikat dikompaun RM30,000 langgar kebenaran operasi

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Bahagian Perkhidmatan Perbandaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua syarikat pengurusan bangunan strata kerana melanggar kebenaran operasi di negeri ini.

Penolong Ketua Unit Cawangan Pengurusan Strata bahagian itu, Abu Bakar Ahmad berkata, kompaun berjumlah RM30,000 dikeluarkan kepada dua syarikat itu dalam serbuan berasingan di Ayer Keroh dan Bukit Katil.

Jelasnya, kedua-dua syarikat itu beroperasi seperti biasa tanpa surat kebenaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

ABU BAKAR.

“Syarikat terbabit memberi alasan bahawa masih tidak lagi memahami prosedur operasi standard (SOP) terhadap kebenaran beroperasi, malah ada juga menyatakan mereka syarikat sendirian berhad dan tidak memohon kebenaran buat anak syarikat mereka bagi kebenaran beroperasi.

“Pihak polis turut memberi tempoh kepada syarikat terbabit untuk memohon kebenaran beroperasi dan ia perlu diluluskan Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Pemantauan CIMS & Pematuhan SOP COVID-19 Dalam Kawasan Pemajuan Berstrata dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah serta Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), di Ayer Keroh.

Mengulas lanjut Abu Bakar berkata, tidak seharusnya syarikat terbabit memberi alasan tidak tahu sedangkan ini merupakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti juga melibatkan kehadiran pekerja melebihi kapasiti dibenarkan iaitu maksimum 60 peratus.

“Sudah lebih setahun kita berdepan keadaan ini namun masih ada yang berikan alasan tidak tahu,” katanya.

Difahamkan setakat ini sebanyak lima kompaun telah dikeluarkan polis kepada syarikat pengurusan bangunan di negeri ini sejak Jun lalu terhadap 73 Skim Strata Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman memaklumkan, pihaknya turut mengeluarkan tujuh notis sepanjang dua hari operasi itu yang dijalankan di 11 lokasi sejak semalam.

ABU BAKAR (tengah) bersama Shadan (dua dari kanan) ketika operasi pematuhan dijalankan.

“Notis peringatan ini adalah melibatkan undang-undang kecil yang mana tempoh notis ini kira-kira 14 hari buat premis yang tidak mematuhi dari segi undang-undang kecil PBT.

“Ia termasuk tidak mempunyai lesen premis kebanyakannya di bawah pembangunan strata.

“Dalam tempoh 14 hari mereka kena datang berjumpa dengan MPHTJ untuk memohon lesen premis.

“Jika gagal kita boleh keluarkan kompaun sehingga RM250 buat sesebuah premis,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

522
Kongsi :
Previous post (Eksklusif) Polis tahan 11 suspek Geng 04, kesan dua lelaki bantu siasatan
Next post Sindiket judi bola sepak Euro 2020 tumpas
Ubah saiz-+=