Elak pembelian panik susulan penarikan balik telur Malaysia oleh Singapura

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR 14 Mac. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pengguna agar tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini, susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura.

Menurut kenyataan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP malam tadi, bahagian itu sedang menilai kesan terhadap bekalan telur di negara ini susulan tindakan pihak berkuasa Singapura itu yang dibuat sebagai langkah berjaga-jaga berikutan dakwaan penemuan bakteria Somanella Enteritidis (SE).

“Fokus tindakan KPDNHEP ialah pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan itu. Pemantauan bekalan ditingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan dijangka terjejas keberadaan bekalan telur.

“KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dan pengeluar ayam dalam negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur bagi menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur dalam negara sekiranya berlaku,” demikian menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu juga KPDNHEP mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga telur dan mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda hingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan hingga tiga tahun atau kedua-duanya,” menurut kenyataan itu.

KPDNHEP juga meminta pengguna menyalurkan maklumat berhubung salah laku peniaga melalui talian 1-800-886-800 atau aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317.

Bernama semalam melaporkan Singapura mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

451
Kongsi :
Previous post Rumah baharu untuk ibu tunggal
Next post JDT terus unggul di persada Liga Super
Ubah saiz-+=