Empat jam bersih, alih bahan kimia bocor

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PAYA RUMPUT 6 Dis – Sepasukan anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengambil masa hampir empat jam bagi membersihkan tumpahan bahan kimia di sebuah kilang membuat cat dekat kawasan Perindustrian Tangga Batu malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak kilang memaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 11.45 malam.

Menurutnya, seramai 18 anggota termasuk pasukan Hazmat dikejarkan ke tempat kejadian dan melalui pemeriksaan awal dijalankan mendapati tong mengandungi cecair kimia jenis Peroksida (organik jenis C) bagi kegunaan membuat cat telah tumpah dalam bilik sejuk penyimpanan bahan tersebut pada kilang berkenaan.

“Apabila kita tiba di lokasi kejadian, tiada kebakaran berlaku cuma berbau bahan kimia dan mengakibatkan mata pedih, pihak keselamatan kilang mendakwa ada letupan berlaku dalam bilik penyimpanan dan ekoran itu, air pancut dikeluarkan pada siling bilik atas faktor keselamatan.

“Hasil pemeriksaan, HAZMAT menemukan empat tong yang setiap satu mengandungi 25 liter cecair kimia yang tumpah pada lantai bilik dan bahan itu tidak boleh terlalu lama terdedah dengan udara melebihi suhu 40 darjah celcius kerana ia boleh mengakibatkan letupan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Katanya, sebaik sahaja berjaya mengenal pasti punca kejadian, pihaknya memulakan kerja-kerja pembersihan dan mengalih tong cecair kimia yang masih elok ke tempat lain yang lebih selamat.

Menurut Roslan, pemeriksaan bacaan udara juga mendapati kawasan sekitar kilang selamat dan tidak mengesan kewujudan sebarang gas beracun.

“Kerja-kerja mengalih tong cecair kimia pada bilik penyimpanan tersebut perlu dibuat segera dan berhati-hati memandangkan ia tidak boleh terdedah kepada pemanasan kerana pada waktu itu juga, bekalan elektrik telah dimatikan dan bilik sejuk tidak berfungsi.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya.

Cecair peroksida merupakan bahan tidak berwarna, pekat dan melekit yang biasanya digunakan dalam proses pelarutan, bahan ini boleh meletup jika terdedah kepada pemanasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post Ifedayo kembali ke pangkuan Melaka United, nasib Zainal masih belum diketahui
Next post Usahawan muda ambil inisiatif ringankan beban golongan rentan
Ubah saiz-+=