Enam CAC dibuka, bantu ringan tugas hospital

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER MOLEK 18 Jan. – Bagi mengurangkan bebanan kerja petugas hospital kerajaan, enam Pusat Penilaian COVID-19 atau COVID-19 Assesment Centre (CAC) dibuka di negeri ini, bermula Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, CAC yang diwujudkan itu berperanan untuk menilai setiap pesakit COVID-19 dan memutuskan sama ada mereka bakal dihantar ke hospital atau menjalani kuarantin di rumah.

Jelasnya, antara lokasi CAC yang diwujudkan ialah seperti di Klinik Kesihatan Batu Berendam (Daerah Melaka Tengah), Klinik Desa Parit Gantung dan Klinik Desa Kesang Tua (Daerah Jasin) serta Klinik Kesihatan Durian Tunggal, Klinik Kesihatan Rembia dan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru (Daerah Alor Gajah).

CAC terbabit jelasnya, akan memainkan peranan untuk menilai setiap pesakit COVID-19 dan memutuskan sama ada pesakit tersebut bakal dihantar ke hospital atau menjalani kuarantin di rumah.

“Jika sebelum ini semua pesakit dirujuk ke hospital, tetapi mulai minggu ini pesakit akan dirujuk kepada CAC yang diwujudkan di setiap daerah.

“Apabila menerima rujukan daripada pusat kesihatan daerah (PKD) atau melalui aplikasi MySejahtera mengenai pesakit COVID-19, CAC ini akan membuat penilaian bagi setiap pesakit sama ada mereka akan dimasukkan ke hospital atau menjalani isolasi di rumah.

“Isolasi di rumah ini hanya melibatkan kes berisiko rendah dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri juga akan menilai kapasiti ruang dan bilik sama ada benar-benar menepati kriteria atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan pematuhan di beberapa premis dan kedai yang ada di sekitar Ayer Molek dan Duyong, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad memaklumkan sehingga kini terdapat 98 individu positif COVID-19 berisiko rendah menjalani isolasi di rumah dan akan dipantau setiap hari oleh petugas kesihatan.

Ujarnya, ia melibatkan 80 pesakit yang dinilai melalui CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam, 13 di CAC Klinik Desa Parit Gantung dan lima melalui CAC Klinik Desa Kesang Tua.

Views:

980
Kongsi :
Previous post Gangguan bekalan 30 jam di Melaka Tengah mulai esok
Next post Patuh SOP jika tidak mahu PKP 2.0 dilanjutkan di Melaka
Ubah saiz-+=