Enam ditahan positif dadah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KOTA LAKSAMANA 25 Sept. – Enam pengguna jalan raya termasuk seorang ahli perniagaan antara individu yang dikesan positif dalam dalam operasi bersepadu di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, malam tadi.

Malah lelaki berusia 43 tahun itu turut didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan.

Operasi bersepadu diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu turut disertai beberapa agensi lain termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis.

Pengarah JPJ negeri Muhammad Firdaus Shariff berkata, dalam operasi selama kira- kira empat jam yang berakhir 12.30 tengah malam itu, turut ditahan dua warga Nigeria kerana didapati tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Sepanjang operasi sebanyak 153 kesalahan dikesan hasil daripada pemeriksaan ke atas 528 kenderaan.

“Dan sebanyak 66 buah kenderaan diambil tindakan dengan 71 saman dikeluarkan selain kita turut menyita dua buah motosikal dan sebuah kereta,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 72 notis arah periksa dan tujuh notis larangan turut dikeluarkan pihaknya kepada pemilik kenderaan untuk tindakan susulan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sementara itu, Timbalan Pengarah AADK negeri A Reuben berkata, selain ahli perniagaan itu turut ditahan seorang ibu muda berusia 23 tahun bersama dua rakannya kerana didapati positif methamphetamine.

“Selain methamphetamine, dua individu didapati positif ganja dan seorang lagi lelaki didapati positif Opiat.

“Mereka ini akan dibawa balik ke pejabat AADK dan semakan lanjut akan dilakukan untuk melihat sama ada mereka ini mempunyai rekod lampau atau orang kena pengawasan (OKP),” katanya.

Views:

262
Kongsi :
Previous post Golongan teknokrat dan korporat disaran tampil sumbang pelitup muka
Next post Kes COVID-19 global kini melebihi 32 juta
Ubah saiz-+=