ePEMULA: E-tunai RM150 bagi 18-20 tahun boleh daftar mulai esok

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 10 April – Golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak, boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah program ePemula, mulai esok.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kredit e-tunai tersebut adalah melalui satu daripada empat penyedia perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

“Selain RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan ePemula akan bermula esok hingga 1 Jun ini, manakala kredit ePemula serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut boleh dibelanjakan sehingga 10 Jun 2022.

Menurut MOF, ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April.

Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4 (SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar, selain data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.

Menurut MOF, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai bernilai RM150 di bawah program ePemula untuk belia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak menerusi Belanjawan 2022.

Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain yang memanfaatkan golongan belia boleh layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html manakala bagi pelbagai manfaat lain khusus untuk belia, layari https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1404
Kongsi :
Previous post Konsep Light City hidupkan semula bazar Jalan Hang Tuah
Next post Belanja RM30 di bazar Jalan Hang Tuah boleh menang kereta RM50,000
Ubah saiz-+=