Erti pengorbanan seorang mualaf

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESIDANG 19 Jun – Ibadah korban setiap kali Hari Raya Aidiladha menjadi waktu yang paling ditunggu-tunggu buat seorang mualaf, Qaseh Qhatijah Tan, 31.

Qaseh Qhatijah, anak kelahiran Ranau, Sabah yang kini berbakti di bumi Melaka berkata, sejak memeluk Islam, dia banyak mendalami erti di sebalik ibadah korban yang dijalankan umat Islam pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Menurutnya, dari tahun ke tahun, banyak yang dipelajari daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS membuat dirinya turut bersemangat berkorban tenaga terlibat dalam ibadah korban.

“Sebelum ini saya tidak makan daging apatah lagi untuk urusan daging, Alhamdulillah berkat Aidiladha ini saya belajar untuk makan dan lebih manisnya dapat bersama-sama uruskan agihan daging.

“Sekiranya kita selami lagi berpandukan hadis banyak pengajaran yang kita juga dapat ambil untuk dijadikan iktibar sebab itu bagi saya Hari Raya Korban ini sangat istimewa.

“Saya berharap agar penganjuran program ini akan diteruskan lagi oleh MAIM bersama badan bukan kerajaan terlibat agar ia dapat memberi pendedahan serta peluang khususnya kepada golongan mualaf mendalami pengertian ibadah korban,” katanya.

Dia ditemui Melaka Hari Ini pada Program Korban Perdana Mualaf Negeri Melaka 2024 di Kompleks Darul Huda, Balai Islam MAIM, di sini, semalam.

Seorang lagi mualaf Mohd Irwan Redzuan Abdullah, 47, turut bersyukur kerana dapat memahami erti korban dengan meluas sebaik memeluk Islam.

Dia yang juga masyarakat Orang Asli dari Kampung Orang Asli Bukit Payung berkata, ibadah korban itu juga dapat mendidik serta memupuk semangat bekerjasama dalam kalangan umat Islam.

“Menariknya Islam ini, kita diajarkan semua bersaudara tidak kira kaum kalau kita tengok ada Cina, India, Dayak dan Orang Asli kami semua bersama-sama menjayakan ibadah korban,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

123
Kongsi :
Previous post Bayi perempuan baharu lahir ditemukan di ruang solat masjid
Next post Keris Melaka dari Pattani antara tarikan di Pameran Hang Tuah
Ubah saiz-+=