Fadillah arah kerja pembinaan Lebuhraya SUKE dihentikan sementara

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR 22 Mac – Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, di sini, dihentikan serta-merta berikutan insiden komponen besi kren terjatuh di lokasi itu pagi tadi.

Beliau berkata arahan henti kerja itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan ke atas kejadian komponen besi kren yang terjatuh dan menghempap sebuah kereta di tempat kejadian dijalankan.

“Saya difahamkan bahawa kejadian berkenaan berlaku semasa kerja-kerja penyelenggaraan dan kawasan itu akan ditutup sehingga siasatan selesai.

“Saya telah mengarahkan kerja-kerja pembinaan dihentikan kecuali kerja-kerja menyelamat yang berkemungkinan dijangka selesai pada 12 tengah malam ini,” katanya kepada pemberita semasa melawat lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Selain itu, Fadillah berkata pihak pemaju projek berkenaan juga telah diarahkan untuk mencari jalan alternatif memandangkan penduduk di sebuah apartment berdekatan tidak mempunyai jalan raya lain untuk masuk ke kediaman berkenaan.

Fadillah berkata ketika ini pelbagai agensi termasuklah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pasukan Bomba dan Penyelamat akan menilai cadangan keselamatan terbaharu sebelum membenarkan kerja-kerja pembinaan di lokasi berkenaan diteruskan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian keselamatan daripada pihak pemaju dan kontraktor untuk memberi tindakan dari sudut keselamatan dan ia akan dinilai oleh agensi-agensi bertanggungjawab,” katanya.

“Siasatan awal mendapati kontraktor projek pembinaan Lebuh Raya SUKE di kawasan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Hari ini, tiga individu maut dalam kejadian struktur besi kren launcher terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

727
Kongsi :
Previous post Melaka catat 12 kes jangkitan baharu, sifar kematian
Next post KPDNHEP jamin bekalan telur ayam mencukupi di seluruh negara
Ubah saiz-+=