Faham erti ‘berdamai dengan takdir’ selepas lafaz syahadah

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 Januari – Islam adalah agama yang mengajar diri wanita ini untuk menjadi manusia yang lebih tenang, gembira dan memahami erti berdamai dengan takdir.

Itulah antara perkongsian Mardiana Asia Yakob, mualaf yang merangkul Anugerah Pelajar Terbaik Asas Kelas Bimbingan Al-Quran dan Fardhu Ain Negeri Melaka, dengan pencapaian 99.3 peratus.

Ibu tunggal ini berkata, sebelum memeluk Islam, dia bagaikan dibelenggu pelbagai masalah yang datang bertali arus.

“Apa yang berlaku menyebakan saya tertanya-tanya dan tercari-cari jawapan mengenai kehidupan. Alhamdulillah pada Oktober 2022 saya mengucap dua kalimah syahadah di Balai Islam bersama anak lelaki kini berusia 14 tahun.

“Sejak itu saya tidak pernah terlepas untuk hadiri kelas yang dianjurkan di Balai Islam. Sesungguhnya saya sebak dan sangat bersyukur menjadi antara insan yang terpilih, azam saya tidak mahu meninggalkan solat fardhu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mardiana Asia berkhidmat di sebuah syarikat swasta turut berkongsi rasa terujanya apabila meraih anugerah berkenaan yang disifatkan sebagai penyuntik semangat buat dirinya untuk terus istiqomah dalam mengenal Islam.

“Syukur, saya tidak menjangkakan untuk menerima anugerah kecemerlangan ini, kerana saya meletakkan minat dan kesungguhan setiap kali pergi mendalami Islam di kelas-kelas yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

511
Kongsi :
Previous post JSPT siasat anggota trafik saman, tawar bayaran saman ke atas pasangan warga UK – Bukit Aman
Next post Bantu asnaf baiki rumah
Ubah saiz-+=