FAM kekal kaedah ‘gelembung bola sepak’ untuk pertandingan Asia

PETALING JAYA, 24 Mac – Prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran beberapa kejohanan bola sepak antarabangsa di Malaysia, kekal menggunakan langkah berjaga-jaga walaupun banyak kelonggaran diberikan apabila negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik bermula 1 April ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya mengekalkan kaedah ‘gelembung bola sepak’ sedia ada yang digunakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata satu kelonggaran yang membawa kelegaan ialah ketiadaan kuarantin wajib kepada pasukan yang tiba dari luar negara, namun mereka tetap perlu lulus ujian COVID-19 yang ditetapkan sejurus tiba di negara ini.

“Sekiranya mereka didapati positif dalam ujian RT-PCR (ujian tindak balas berantai polimerase masa nyata) atau RTK-Ag (ujian pantas antigen), mereka akan dikuarantin di hotel penginapan dengan tempohnya bukan lima atau tujuh hari, tetapi mungkin dalam masa 24 jam kita buat ujian lagi dan jika negatif mereka dibenarkan untuk berada bersama pasukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif di Wisma FAM hari ini.

Ditanya mengenai kapasiti kehadiran dan SOP bagi penonton, Mohd Saifuddin berkata FAM masih menunggu SOP terperinci bagi industri sukan daripada kerajaan.

“Selepas dua tahun tiada perlawanan peringkat antarabangsa di Malaysia, kita memang mengharapkan agar mendapat kehadiran seratus peratus penonton. Bagaimanapun, kita belum mendapat SOP terperinci, sebagai contoh majlis perkahwinan dalam dewan dibenarkan seratus peratus dan boleh merapatkan saf solat.

“Namun, kita telah menghantar rayuan melalui KBS (Kementerian Belia dan Sukan) untuk mendapatkan kapasiti penuh untuk stadium,” katanya.

Selepas lebih dua tahun ‘menyepi’, Malaysia bakal menganjurkan tiga pertandingan bola sepak peringkat Asia bermula dengan saingan peringkat Kumpulan I Liga Juara-juara Asia (ACL) dan Kumpulan H Piala AFC 2022, serta Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.

Timbalan Presiden FAM Datuk Yusoff Mahadi pula berkata saingan ACL melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Guangzhou FC dari China, Kawasaki Frontale (Jepun) dan Ulsan Hyundai FC (Korea Selatan) pada 13-30 April ini di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pula akan menjadi tuan rumah bagi saingan Piala AFC melibatkan Kuala Lumpur City FC, Tampines Rovers (Singapura) dan PSM Makassar (Indonesia) bermula 24-30 Jun.

“Bagi Kelayakan Piala Asia melibatkan skuad Harimau Malaya menentang Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh, Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan venue utama sementara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur akan bertindak selaku venue alternatif kerana melibatkan banyak perlawanan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, FAM juga memutuskan untuk kitaran kedua pelan strategik F:30 yang akan dilancarkan pada Jun ini, melibatkan perancangan untuk membangun dan menyusun semula pelan itu bagi penambahbaikan dan memuktamadkan objektif strategik, dengan fokus pada keutamaan dan kebolehlaksanaan.

Liga Wanita Nasional (LWN) yang pada asalnya dijadualkan pada Mac, terpaksa ditangguh ke Mei berikutan penyertaan pasukan yang tidak seimbang, dengan FAM kini membuka peluang kepada semua pasukan berbanding pasukan negeri dan kelab sebelum ini.

FAM juga bersetuju menghantar penyertaan ke Kejohanan Bola Sepak Wanita AFF 2022 di Filipina pada 1-14 Julai, selain Kejohanan Bawah-18 dan Bawah-15 Wanita AFF, manakala Pelan Pembangunan Bola Sepak Wanita Negara bakal diadakan pada 14 Mei.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Previous post Sasar 500,000 benih ikan dan udang galah dilepaskan ke sungai terpilih di Melaka
Next post Bantuan RM137,848 buat 41 nelayan dan penternak ikan