Fan Bingbing bantu promosi Melaka di mata dunia

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

PETALING JAYA, SELANGOR 10 Jun – Pelantikan bintang popular, Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan Melaka bakal membantu merancakkan lagi usaha mempromosikan negeri ini sebagai destinasi percutian pilihan dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dengan lebih 60 juta pengikut di platform media sosial, pelantikan Fan Bingbing mampu menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Beliau (Fan Bingbing) merupakan seorang tokoh hebat, pernah dilantik oleh Kerajaan Thailand menjadi duta pelancongan. Jadi Kerajaan Melaka mengambil peluang yang ada dengan melantik beliau sebagai duta pelancongan.

“Pada 15 Jun ini (Sabtu) akan berlangsung sesi ‘Meet and Greet’ Fan Bingbing bersama peminat di Encore Melaka. Kita mahu memasarkan Negeri Melaka ke dunia, jadi saya harap dengan pelantikan beliau ini, pemasaran industri pelancongan di Melaka akan lebih berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran secara langsung di Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama Damansara di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata setakat ini seramai 5.7 juta pelancong direkodkan sudah singgah ke Negeri Melaka.

“Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kita sudah mencapai angka kehadiran pelancong yang luar jangkaan, rekod ini adalah berdasarkan peningkatan tempahan bilik hotel dan lokasi tarikan pelancongan yang dibanjiri orang ramai.

“Selepas ini akan berlangsung Karnival Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pelbagai acara menarik dan cabutan bertuah akan diadakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1330
Kongsi :
Previous post Minta dipeluk, petanda isteri pergi selamanya
Next post Perdana Menteri salur sumbangan RM40,000 kepada waris keluarga mangsa kemalangan bas
Ubah saiz-+=