Minta dipeluk, petanda isteri pergi selamanya

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LINGGI 10 Jun – “Saya sangkakan dia hanya bergurau apabila minta untuk dipeluk. Langsung tidak sangka rupanya itu adalah pelukan terakhir kami,” kata Zul Sham Mahat.

Zul Sham, 56, adalah suami kepada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Dahlia Ahmad, 52, mangsa keempat yang meninggal dunia akibat terbabit kemalangan bas persiaran dan treler di Jalan Kuantan-Segamat, awal pagi semalam.

Menurut Zul Sham, tiada perubahan ketara ditunjukkan oleh arwah isterinya, namun sebelum bergerak dari rumah untuk ke sekolah, Dahlia minta untuk dipeluk.

“Pada kebiasaannya isteri hanya akan bersalam dan cium tangan, tapi kali ini minta dipeluk. Katanya mahu pergi, waktu itu saya anggap perlakuan isteri hanya gurauan, tanpa sedar itulah pelukan terakhir.

“Meskipun pemergiannya mengejut dan tiba-tiba, namun saya reda dan alhamdulillah semuanya sudah selesai. Anak-anak faham, cuma anak bongsu kami yang juga anak istimewa mungkin baru faham ibunya sudah tiada.

“Dia mula sebak apabila lihat ramai orang datang menziarah, sekarang dia kerap berada dalam bilik sambil memegang gambar arwah ibunya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang, hari ini.

Bapa kepada lima anak berusia antara 14 hingga 23 tahun itu berkata, dia hanya mengetahui nahas mengorbankan isterinya selepas menerima panggilan telefon daripada rakan arwah kira-kira jam 5.30 pagi.

“Memang terperanjat sebaik menerima panggilan mengatakan arwah kritikal dan sedang dirawat di hospital, saya waktu itu baru bangun tidur dan dapat berita sebegitu memang kelu seketika.

“Selepas itu saya terus bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang, ketika masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) saya berpeluang melawat arwah, namun dia dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Jelasnya, semasa hayat arwah isterinya seorang yang suka menolong mereka yang memerlukan bantuan dan baik dengan semua orang menyebabkan dia disenangi ramai.

“Apa yang saya lihat arwah adalah seorang yang baik dan suka menolong orang, apa yang dia rasa dapat tolong dia akan tolong itulah sifatnya. Oleh asbab kebaikan itu hari ini ramai yang datang menziarahinya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

917
Kongsi :
Previous post Malaysia Bike Week 2024 dijangka tarik lebih 200,000 ‘bikers’
Next post Fan Bingbing bantu promosi Melaka di mata dunia
Ubah saiz-+=