Festival Keris Antarabangsa Melaka martabat warisan Melayu

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DUYONG 13 November – Kira-kira 1,000 bilah keris daripada pelbagai jenis dan reka bentuk mencuri perhatian ramai pada Festival Keris Antarabangsa Melaka yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, di Perkampungan Hang Tuah, di sini.

Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Dr. Mohd Nasruddin Rahman berkata, penganjuran julung kali diadakan di negeri ini itu berjaya menghimpunkan pemilik koleksi keris dari seluruh negara dan beberapa negara jiran.

Katanya, selain dipamer, sebahagian keris-keris itu turut dipertandingkan pada festival berkenaan.

“Alhamdulillah kita menganjurkan program ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia dan Indonesia seperti dari Kepulauan Riau, Lingga, Makasar selain dari Singapura dan Selatan Thailand.

“Dalam program berlangsung selama dua hari ini kita turut mempamerkan antara keris tertua iaitu Keris Bentan yang dimiliki sejak abad ke-14, malah pelbagai pertandingan membabitkan 10 jenis keris dipertandingkan sebagai acara utama.

“Melihat potensi yang seiring dalam objektif kita sebagai memelihara dan memulihara warisan kebudayaan negeri ini, kita yakin program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan dan diletakkan dalam kalendar pelancongan negeri berikutan ia menerima sambutan yang cukup positif pada penganjuran kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas upacara perasmian Festival Keris Antarabangsa Melaka yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab. Aziz dan turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh.

IMG_20221112_214125_411
DUYONG 12 November – Pengerusi Lembaga Pengarah PERZIM, Datuk Akramuddin Ab Aziz bergambar bersama pemenang pertandingan keris sempena Festival Keris Antarabangsa Melaka (FKAM) 2022 Di Perkampungan Hang Tuah Kampung Duyong. Turut hadir bersama Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, pada acara perasmian itu, pelbagai program menarik telah disajikan buat pengunjung yang hadir bagi melestarikan dan memartabatkan seni serta warisan Melayu itu.

Turut diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan 10 kategori keris yang disampaikan Akramuddin.

Antara kategori keris yang dipertandingkan adalah kategori Keris Bugis Sepokal, Keris Bugis Lok, Keris Saras Besi Sebatang, Keris Alang Besi Sebatang, Keris Malela serta pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2651
Kongsi :
Previous post Sentuhan 14 pereka fesyen di SDG in Style
Next post Bayi lelaki ditimpa pokok rhu meninggal dunia
Ubah saiz-+=