Firma penyelidikan kekal yakin dengan prospek Pos Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR 3 Mac. – Syarikat penyelidikan terus yakin dengan trajektori pemulihan Pos Malaysia Bhd dalam bergerak ke hadapan, didorong oleh pemangkin positif ekonomi di dalam negara dan juga global.

RHB Research kekal optimistik terhadap prospek pemulihan Pos Malaysia untuk tahun 2021, seiring dengan pembukaan semula ekonomi secara meluas, meningkatkan segmen perniagaan bukan pos serta fokus syarikat untuk memperbaiki margin.

“Melangkah masuk ke tahun 2021, fokus pengurusan ialah meningkatkan margin. Dari segi operasi, ini memerlukan usaha giat mengukuhkan perniagaan kurier, transformasi digital perniagaan runcit dan inisiatif seterusnya dalam mengurangkan kos.

“Pos Malaysia akan terus terlibat dengan kerajaan terhadap perubahan peraturan bagi menyokong kemampanan jangka panjang industri kurier,” kata firma penyelidikan itu yang turut mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas syarikat dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.45.

Sementara itu, AmInvestment Bank pula mengambil sikap berhati-hati terhadap tinjauan untuk Pos Malaysia tahun ini kerana berpendapat ia memerlukan masa untuk memulihkan kerugian dan mengembalikan keyakinan berikutan penutupan pusat pemprosesan bungkusan utamanya untuk tempoh Oktober–November 2020, serta untuk operasinya kembali pulih sepenuhnya daripada pandemik.

Bagaimanapun, melangkaui 2021, ia berkata tinjauan untuk segmen penghantaran bungkusan yang mana Pos Malaysia adalah antara tiga pemain teratas di Malaysia, adalah positif, katanya dalam satu nota berasingan.

Ia menambah tinjauan positif itu disokong oleh perubahan struktur dan pilihan pengguna terhadap konsep membeli-belah dalam talian serta pembekuan lesen kurier baharu di Malaysia mulai September 2020 sehingga September 2022 bagi memastikan persaingan yang rasional dalam segmen itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post Rakyat Malaysia bebas daripada tuduhan berkaitan dadah di Singapura
Next post PKPP: Ibu bapa teruja bawa keluarga beriadah semula
Ubah saiz-+=