PKPP: Ibu bapa teruja bawa keluarga beriadah semula

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 3 Mac. – “Alhamdulillah kerajaan dah benarkan rentas daerah, bolehlah saya bawa keluarga jalan-jalan di kawasan pantai yang jauh sikit lepas ni.”

Itu luahan Nurul Fateha Md Sandollah,34, dari Taman Paya Rumput Indah, dekat sini, mengenai keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negara kecuali Sabah mulai 5 Mac ini.

Menurutnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dan kemudian PKP Bersyarat (PKPB) dia bersama keluarga sudah lama tidak beriadah bersama.

NURUL FATEHA…bersyukur status PKPB melaka ditukar kepada PKPP selain kebenaran rentas daerah dibenarkan.

“Selepas kerajaan umum semalam, ia berita gembira buat rakyat. Saya memang rancang untuk bawa anak-anak hirup udara di luar.

“Ikutkan nak bawa anak-anak jalan di kawasan Jasin atau Merlimau sebab di sana ada pantai, tapi kena jaga prosedur operasi standard (SOP) juga sebab kanak-kanak lebih mudah terdedah pada wabak COVID-19 ini,” katanya kepada MHI.

Bagi Nurr A’in Sudin,32, pula berkata perancangan utamanya selepas boleh rentas daerah adalah untuk membawa keluarga pergi makan-makan bersama.

“Alhamdulillah, jika dilihat kes COVID-19 semakin menurun, bila kerajaan umum boleh rentas daerah mestilah ia khabar gembira buat semua rakyat.

“Lagipun saya kasihan terhadap anak-anak…dah lama sangat duduk di rumah, lepas ni dapatlah juga pergi ‘cuci mata’, makan-makan dengan keluarga dan tengok rumah baru kami.

“Saya pun dah rancang nak ambil cuti bawa anak-anak pergi jalan-jalan,” katanya yang menetap di Kampung Kandang.

Semalam, kerajaan bersetuju membenarkan pergerakan rentas daerah di seluruh negara kecuali Sabah berkuat kuasa mulai 5 hingga 18 Mac ini, manakala larangan rentas negeri kekal.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, status PKPB di Melaka, Pahang, Terengganu, Putrajaya, Labuan ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat ini manakala PKPB di Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal.

“Arahan itu berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac kecuali di Sarawak pelaksanaan PKPB bermula pada 2 Mac hingga 15 Mac ini. Perlis pula kekal dengan status PKPP,” katanya.

ends…

rentas tinjau 1- NURR A’in

rentas tinjau 2- NURUL Fateha

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post Firma penyelidikan kekal yakin dengan prospek Pos Malaysia
Next post 543 bomba Melaka terima suntikan vaksin fasa 1
Ubah saiz-+=