Forum Perdana Ehwal Islam di Melaka cipta sejarah tampil panelis teramai

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDA HILIR 9 April – Forum Perdana Ehwal Islam yang bersiaran langsung selama sejam dari bumi bersejarah, Melaka bermula 9 malam tadi mencipta sejarah tersendiri apabila menampilkan panelis teramai pada satu-satu masa.

Seramai 12 panelis telah dipilih dalam program bual bicara yang diadakan di Hotel Hatten, di sini, bagi membincangkan topik yang bertajuk ‘Syariat Didaulat, Perpaduan Diangkat’.

TUN Mohd Ali (berbaju melayu biru) turut hadir menyaksikan Forum Perdana Ehwal Islam secara langsung dari Hotel Hatten.

Antara panelis yang ditampilkan dalam program terbabit ialah Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Datuk Wan Zahidi Wan Teh; Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Ahli Dilantik Majlis Raja-raja Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman dan Penyandang Kursi-kursi Institusi Raja-raja Melayu, Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Selain itu, ia turut membariskan mufti dari lapan buah negeri iaitu Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Mufti Perlis Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad; Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad; Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah; Mufti Sabah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar dan Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Menariknya, walaupun dibarisi panelis yang ramai, kesemuanya telah diberi peluang secara adil dan saksama secara ’round the table’ oleh dua moderator yang mengendalikan bual bicara tersebut, Zakaria Othman dan Nabil Ahmad.

Program yang disiarkan secara langsung di TV1 itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira (Dr) Asmah Abd Rahman.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Md Azhan Samat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1321
Kongsi :
Previous post Bapa mentua Ketua Menteri meninggal dunia
Next post Jenazah bapa mentua Ketua Menteri selamat dikebumi
Ubah saiz-+=