
GAGAL DIHUBUNGI, WARGA EMAS DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DALAM RUMAH
KESIDANG 5 Mei – Kebimbingan seorang lelaki selepas gagal menghubungi rakannya terjawab selepas warga emas terbabit ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Taman Malim Jaya, di sini, semalam.
Abdul Rahim Abd Rahman, 69, ditemukan tidak sedarkan diri ketika ditemui kira-kira jam 6.50 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, warga emas terbabit dikatakan dilihat kali terakhir pada Jumaat kira-kira jam 3 petang ketika melakukan kerja binaan di Masjid Kampung Pokok Mangga.
Katanya, pada Khamis petang warga emas terbabit dikatakan ke kedai rakannya untuk berbual sambil makan aiskrim sebelum tiba-tiba mengadu semput.
“Namun selepas pulang ke rumah dia kembali ke kedai rakannya dalam keadaan tercungap-cungap. Risau akan kesihatan lelaki warga emas itu, rakannya cuba menghubunginya untuk bertanya khabar namun panggilan tidak berjawab.
“Susulan itu dia kemudian ke rumah warga emas terbabit untuk memeriksa keadaan lelaki tersebut dan mendapati dalam keadaan berkunci. Dia kemudian cuba melihat keadaan dalam rumah menerusi tingkap lalu ternampak kaki warga emas di atas lantai,” katanya.
Menurut Christopher, rakannya kemudian meminta bantuan jiran untuk menghubungi bantuan kecemasan sebelum pasukan polis dan bomba tiba.
“Sebaik pintu rumah di buka oleh pasukan bomba, warga emas berada dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
“Warga emas terbabit yang tidak berkahwin dikatakan tinggal seorang diri dan bekerja sebagai kontraktor binaan.
“Menurut jirannya warga emas terbabit dikatakan tidak mempunyai sejarah penyakit kerana tidak pernah ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain daripada semput,” katanya.
Christopher berkata, siasatan dijalankan mendapati tiada unsur jenayah di lokasi kejadian selain proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.