Galakan murid, pelajar lawat tapak warisan UNESCO

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 16 Februari – Kementerian Pendidikan menggalakkan pihak sekolah mengadakan lawatan ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu dilihat amat sesuai sebagai aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dalam usaha membentuk murid dan pelajar yang menghargai sejarah negara.

“Kita berharap pihak sekolah dapat melaksanakan saranan ini kerana amat penting bagi murid dan pelajar didedahkan tentang pemuliharaan serta penjagaan tapak warisan dunia.

“Sudah tentu ini satu komitmen yang besar dan memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri berkenaan ketika melaksanakan program sebegini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Warisan UNESCO di Bukit Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Leng Chau Yen serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, menjadi harapan KPM untuk melihat tapak-tapak warisan yang ada terus dipelihara.

“Tahniah Kerajaan Negeri Melaka kerana berjaya memartabatkan tapak warisan UNESCO ini, apatah lagi menjaga, memelihara dan memastikan ia terus dikunjungi oleh pelawat seluruh dunia.

“Komitmen kita seterusnya adalah memastikan penglibatan generasi muda dalam memulihara tapak warisan dunia ini terus diperkasakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post KBS nampak potensi sepak takraw Melaka
Next post Tawar 7,368 unit kediaman pada Ekspo RMM 2024
Ubah saiz-+=