Gembira dapat jadi ‘cleaner’ di PKRC – Pesakit

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Dek kerana terlalu banyak masa berehat, makan dan tidur di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), seorang pesakit sanggup menjadi tukang cuci atau ‘cleaner’ secara sukarelawan sejak dimasukkan ke situ Jumaat lalu.

Bagi Ahmad Syafiq Syahmi Baharudin, 28, keadaan terlalu selesa di pusat kuarantin itu membuatkan dia terlalu bosan menyebabkannya memilih untuk menjadi sukarelawan walaupun sudah ada pekerja pembersihan melakukan kerja-kerja pembersihan di PKRC berkenaan setiap dua jam.

Malah menurutnya, tabiat suka menyapu yang sudah dididik dalam dirinya sejak kecil juga dianggap seperti senaman ringan untuk mengeluarkan peluh.

AHMAD Syafiq Syahmi bersama pesakit lain yang menghadiahkannya makanan ringan sebagai menghargai tugas sukarelawan dilakukannya.

“Sejak dimasukkan ke sini petang Jumaat lalu selepas disahkan positif COVID-19, memang saya tidak akan duduk diam dan akan menyapu di kawasan katil, ruang makan dan ruang solat dewan ini.

“Walaupun kawasan ini sudah bersih, saya tetap akan sapu kerana sudah menjadi tabiat sejak kecil tak boleh tengok habuk selain akibat terlalu bosan asyik makan, minum dan tidur di sini.

“Selalunya, saya akan menyapu antara jam tiga hingga enam petang kerana pada waktu lain sudah ada tukang cuci membersihkan kawasan dewan,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

Menurut pemuda yang bekerja sebagai pembancuh kopi ini, dia juga tidak kisah apabila digelar ‘cleaner’ dalam kalangan pesakit yang tinggal di PKRC berkenaan sejak tujuh hari lalu.

AHMAD Syafiq Syahmi gembira menjadi sukarelawan ‘cleaner’ di PKRC MITC Melaka.

“Tiada apa yang hendak dimalukan, malah saya berasa dihormati apabila setiap kali selepas menyapu, ada sahaja pesakit lain di sini akan menghadiahkan ‘jajan’ sebagai tanda penghargaan.

“Walaupun sudah banyak makanan disediakan di sini, mereka tetap akan memberikan saya snek, pek minuman 3 dalam 1, keropok, mi segera dan macam-macam lagi sampai saya rasa sudah boleh buka kedai runcit selepas ini,” katanya berseloroh.

Ahmad Syafiq berkata, dia pastinya tidak akan melupakan layanan baik diterima rakan-rakan baharu sepanjang berada di pusat kuarantin berisiko rendah itu sebelum dijadualkan keluar esok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post KPPA tegur penjawat awam isu kerja sambil lewa, tidak cekap
Next post Jom buka akaun TH secara maya dengan THiJARI
Ubah saiz-+=