Gerabak kereta api Banda Hilir berwajah baharu Ogos ini – Perzim

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperuntukkan sejumlah RM250,000 bagi kerja-kerja membaik pulih lokomotif dan gerabak kereta api di Banda Hilir yang dijangka siap Ogos ini sebelum ia dijadikan galeri sejarah.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Drs. Mohd Nasruddin Rahman berkata, kerja-kerja membaik pulih itu termasuklah mengecat kembali gerabak kereta api berkenaan kepada warna asalnya yang bewarna hijau.

Katanya, kerja membaik pulih gerabak kereta api itu bermula April lalu dan ia akan dijadikan galeri yang mempamerkan ilmu sejarah gerabak berkenaan.

“Kerja membaik pulih bermula April lalu dan dijangka siap awal Ogos. Selepas ini gerabak ini akan dijadikan sebagai galeri sejarah yang mana orang ramai boleh melancong sambil menimba ilmu tentang sejarah gerabak itu.

“Kita akan pastikan kerja membaik pulih ini siap sebelum sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos, sudah tentu ini juga salah satu usaha kita untuk membuat persediaan menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

photo_2023-07-14_13-14-12
GERABAK kereta api di Banda Hilir yang sedang dinaik taraf. Foto: MR. AZLI

Katanya, selain gerabak kereta api, persekitaran kawasan itu yang dinamakan sebagai ‘laman pengangkutan’ juga akan dinaik taraf lagi bagi memberi peluang kepada pelancong untuk bergambar sebagai kenangan.

“Kawasan sekitar kereta api ini kita panggil ‘laman pengangkutan’, itu sebab kita letak semua kenderaan di kawasan itu, bila sudah naik taraf, pelancong boleh buat ‘photoshoot’ di situ.

“Kita mahu pelancong rasai suasana menaiki kereta api yang sebenar, pelancong juga boleh masuk bahagian lokomotif kereta api untuk melihat bagaimana enjin kenderaan ini.

“Panjang gerabak termasuk lokomotif adalah 70 meter, kira-kira seramai 20 pelancong boleh masuk dalam gerabak pada satu-satu masa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1041
Kongsi :
Previous post Ab Rauf promosi Festival TMM2024 di Malaysia Hari Ini
Next post Pertemuan bersama KKM selesaikan isu kekurangan katil di Hospital Melaka – Exco
Ubah saiz-+=