Pertemuan bersama KKM selesaikan isu kekurangan katil di Hospital Melaka – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 14 Julai – Perbincangan lanjut akan diadakan antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyelesaikan isu kesesakan dan kekurangan katil di Hospital Melaka yang membelenggu hampir 10 tahun lalu.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, isu kekurangan katil pesakit yang berlaku menjadi tumpuan utama pihaknya bagi memastikan masalah itu diselesaikan sewajarnya.

“Kita akan bawa isu berkait rapat dengan Hospital Melaka yang sudah berlaku lama hampir 10 tahun yang lalu terutama kita mahu menaik taraf setiap kekurangan yang berlaku khususnya masalah katil di hospital terbabit,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tular dakwaan seorang individu yang mengatakan isterinya yang hamil tujuh bulan terpaksa menunggu lebih 12 jam berikutan wad yang penuh.

photo_2023-05-24_12-07-31
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem

Hee Sem berkata, hospital berkenaan bukan sahaja mengalami masalah kekurangan katil, malah kesesakan berlaku berikutan kekurangan doktor dan jururawat.

“Apa yang kita lihat kesemua jabatan terlibat juga menghadapi masalah kekurangan termasuk kekurangan doktor dan jururawat.

“Kita harap perbincangan bersama pihak kementerian akan menyelesaikan perkara ini sewajarnya berikutan masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pertemuan itu juga akan membincangkan mengenai kelulusan Kerajaan Persekutuan bagi membina Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Melaka.

“Biarpun perkara ini telah diumumkan kerajaan ia juga mengambil masa yang bertahun untuk menunggu peruntukan disalurkan.

“Kerajaan Negeri berharap agar perbincangan ini mampu mengatasi setiap masalah yang berlaku di Melaka biarpun kita sedia maklum masalah sama ini juga dihadapi di setiap negeri lain di Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1844
Kongsi :
Previous post Gerabak kereta api Banda Hilir berwajah baharu Ogos ini – Perzim
Next post KM promosi TMM2024 di konti radio
Ubah saiz-+=