German Technology Park Melaka tawar 10,000 peluang pekerjaan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

KUALA LUMPUR 22 Mac – Pembangunan German Technology Park (GTP) di Melaka bakal membuka 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri yakin model pembangunan GTP ini akan meletakkan Melaka sebagai destinasi pelaburan yang cukup menarik kepada syarikat berteknologi tinggi di Jerman.

Katanya, penubuhan GTP itu juga bakal melonjakkan lagi pembangunan ekonomi berimpak tinggi di Melaka menerusi pembangunan industri, pemindahan teknologi serta mengembangkan tenaga kerja mahir dalam kalangan rakyat tempatan.

“Saya berkeyakinan tinggi, GTP ini akan membantu melonjakkan sektor industri berimpak tinggi di Negeri Melaka, selain membantu meningkatkan lagi kualiti pekerja mahir Melaka melalui pemindahan teknologi.

“Untuk itu, kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) sebagai institusi yang berteraskan pendidikan teknologi serta melahirkan pekerja mahir tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MCORP dan MIDA serta lapan pemilik tanah bagi pembangunan GTP di sebuah hotel, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Duta Besar Jerman Ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.

Lapan syarikat yang terbabit MoU berkenaan ialah MCORP yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Jakel Holdings Sdn Bhd diwakili Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel; Riverwell Resources Sdn Bhd diwakili Richard Teo Lay Ban; Yayasan Melaka diwakili Datuk Kamarul Zaman Jantan; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) diwakili Datuk Wira Arham Abdul Rahman; Harmony Alliance Sdn Bhd diwakili Datuk Zainal Abidin Sakom; Infra Park Development Sdn Bhd diwakili Nur Fairuz Ruslan; dan LCN Development Sdn Bhd diwakili oleh Norlaila Lee Abdullah.

Pembangunan infrastruktur German Technology Park terletak di sebuah kawasan seluas 138.07 hektar (341.18 ekar) yang bakal dimajukan di Bandar Hijau, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh.
Kawasan perindustrian baharu itu bakal menerapkan unsur Environmental, Social & Governance (ESG), Sustainable Development Goals & Green Building Index (GBI) dan dijangka siap serta dibuka untuk jualan pada 2026.
German Technology Park ini juga memberi tumpuan kepada pembangunan R&D, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, serta ICT.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3179
Kongsi :
Previous post Kuih tradisional, dodol air tangan wanita Jasin
Next post Stoking tertera kalimah Allah: Kertas siasatan lengkap, polis tunggu arahan AGC
Ubah saiz-+=