‘German Week’ himpun pemain industri dan pelabur

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KUALA LUMPUR 22 Mac – Minggu Jerman atau ‘German Week’ dijadualkan Oktober depan dianggap sebagai satu penganjuran program yang amat penting dan menarik apabila menghimpun pelabur serta pemain industri dari Jerman di Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lebih penting lagi penganjuran ‘German Week’ adalah antara langkah proaktif untuk mempromosikan German Technology Park (GTP) yang bakal dibangunkan di Ayer Keroh.

Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, antara pengisian pada ‘German Week’ adalah padanan niaga, pameran teknologi, bengkel dan pendidikan.

Berikutan itu beliau, amat mengalu-alukan kehadiran semua pemain industri Jerman yang berada di negara ini ke ‘German Week’ dan pada masa yang sama melihat pelbagai peluang yang disediakan di Melaka.

“Penganjuran ‘German Week’ kita jadikan medan untuk menarik lebih ramai pelabur dari Jerman, seterusnya mempromosi Melaka sebagai negeri mesra pelabur dan lokasi yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelabur Jerman bertapak.

“Saya juga berterima kepada Duta Besar Jerman ke Malaysia serta pemain industri Jerman yang berada di negara ini kerana memberikan sokongan penuh terhadap program yang direncanakan ini.

“Sejak tahun 2000 hingga 2013, Melaka merupakan sebuah negeri yang menerima pelaburan terbesar Jerman di Malaysia, hampir kesemua industri Jerman yang bertapak di Melaka berjaya serta akan dijadikan rujukan kepada bakal-bakal pelabur yang masuk pada ‘German Week’ itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena MoU di antara MCORP dan MIDA dan lapan pemilik tanah bagi pembangunan GTP di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Duta Besar Jerman Ke Malaysia, Dr. Peter Blomeyer; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif MCORP, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan serta kenamaan lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

80
Kongsi :
Previous post Taktik licik jadikan ‘taska’ stor simpanan dadah terbongkar
Next post BNM dijangka kekalkan OPR tidak berubah sepanjang 2024
Ubah saiz-+=