Gilap permata Tanjung Bidara

Masa Membaca:3 Minit, 33 Saat

TANJUNG BIDARA 29 Oktober – Terlatak di gigi perairan Selat Melaka, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara sudah terkenal sebagai antara lokasi pelancongan sejak berdekad-dekad lamanya.

Walaupun tidak terkenal seperti pantai peranginan lain di negara ini, namun suasana perkampungan tepi pantai yang bersih dan masih dikelilingi tumbuhan menghijau menjadikan Tanjung Bidara kekal relevan sebagai lokasi persinggahan untuk lari dari hiruk pikuk kota.

Mengembangkan lagi potensi pelancongan menjadi antara misi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaik diberi mandat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, untuk menjadikan Tanjung Bidara sebagai antara destinasi pelancongan terulung pelbagai tumpuan dan perhatian perlu diberikan terutamanya dalam aspek naik taraf infrastruktur.

2
PENGKALAN Balak menjadi antara lokasi tumpuan pelancongan terkenal di bawah DUN Tanjung Bidara.

NAIK TARAF PRODUK PELANCONGAN

Menurut Ab Rauf, antara tumpuannya ialah dengan menambah baik produk dan perkhidmatan pelancongan sedia ada di kawasan itu.

Katanya, antara tumpuan utama ketika ini ialah terhadap dua produk iaitu Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Balik Batu dan Pusat Konversasi Dan Penerangan Penyu di Padang Kemunting.

Jelas beliau, kedua-dua produk ini merupakan antara permata terpenting di Tanjung Bidara memandangkan ia merupakan tarikan yang tidak banyak ada di mana-mana tempat.

“Misalnya, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, ia merupakan satu kawasan tarikan bagi mempelajari ilmu astronomi yang mana ia ada di Tanjung Bidara.

“Begitu juga dengan Padang Kemunting yang menjadi satu-satunya pusat konservasi penyu di Melaka.

“Jadi, saya melihat adanya keperluan untuk kita lakukan penambahbaikan dan menaik taraf kawasan-kawasan tarikan seperti ini supaya ia kekal relevan untuk menarik pelancong,” katanya.

4
SENTIASA prihatin dengan kebajikan penduduk di Tanjung Bidara.

IMEJ TRADISI DIKEKALKAN

Tambah Ab Rauf, bagi memulakan penambahbaikan di setiap kawasan pelancongan yang ada di Tanjung Bidara termasuk chalet dan inap desa, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dalam sektor itu bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Katanya, maklum balas dan maklumat daripada setiap penggiat pelancongan amat diperlukan supaya panduan penambahbaikan itu boleh diguna pakai untuk semua dalam memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelancong-pelancong.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kemajuan dan penambah baikan itu bukanlah bermaksud akan mengubah keseluruhan imej pelancongan Tanjung Bidara.

Sebaliknya, ujar beliau, imej dan ciri-ciri tradisional akan tetap dikekalkan.

“Kita mahu melihat kawasan pelancongan di Tanjung Bidara menerima pengiktirafan. Pengiktirafan itu bukan bermaksud seperti hotel empat bintang atau lima bintang, tetapi ia lebih kepada pengiktirafan oleh pelancong dari sudut perkhidmatan, tarikan dan kemudahan disediakan.

“Apa yang pasti, imej tradisi kawasan ini dari Tanjung Bidara hinggalah ke Padang Kemunting dan Pengkalan Balak akan terus dikekalkan,” katanya.

6
BERSAMA agensi Kerajaan Negeri melawat tapak jajaran jalan darat menghubungkan kawasan Tanjung Bidara ke Pulau Sebang.

KAWASAN PERINDUSTRIAN ASET MASA DEPAN

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri berkata, dalam memacu pertumbuhan ekonomi penduduk Tanjung Bidara, sebuah kawasan perindustrian baharu akan dibangunkan di kawasan itu.

Selain itu, katanya, kawasan industri sedia ada juga akan ditambah baik dan dinaik taraf terutamanya membabitkan industri kecil dan sederhana (IKS) yang akan menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat.

“Jika melihat daripada sudut perancangan jangka panjang, sekiranya hubungan jambatan dari Sumatera ke Melaka direalisasikan, ia akan memberikan satu suntikan ekonomi yang amat besar.

“Ia bukan sahaja untuk Tanjung Bidara, bahkan untuk Negeri Melaka itu sendiri.

“Jadi itu perancangan jangka panjang, untuk jangka pendek, kita bukan sahaja akan bermula dengan menaik taraf industri sedia ada, bahkan kita juga akan memberi perhatian terhadap aspek infrastruktur terutamanya kualiti jalan raya di kawasan ini,” katanya.

3
AB Rauf ketika menyampaikan replika kunci Rumah Prihatin di bawah DUN Tanjung Bidara.

BIODATA

Nama: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
Umur: 61

Karier:-
– Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara (2021 – kini)
– Usahawan

Politik:-
– Pengerusi Barisan Nasional Negeri Melaka
– Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka
– Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO

INFO DUN Tanjung Bidara

Jumlah pengundi : 13,999

Kampung : 11
Taman Perumahan : 14

Rumah Ibadat:-
Masjid: 7
Surau: 25
Tokong: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 4
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 7

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3869
Kongsi :
Previous post Produk baharu bantu pacu pelancongan Melaka
Next post Melaka jadi tumpuan atlet ‘triathlon’ dunia
Ubah saiz-+=