Melaka jadi tumpuan atlet ‘triathlon’ dunia

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KLEBANG 29 Oktober – Kira-kira 1,000 peserta dari 25 buah negara berentap pada Kejohanan 113 OD Triathlon 2022, di Encore Melaka, di sini, 23 Oktober lalu.

Kejohanan itu disertai peserta dalam lingkungan 6 hingga 70 tahun dengan setiap peserta perlu melengkapkan tiga rutin iaitu berenang sejauh 1.5 kilometer (km), diikuti berkayuh sejauh 40km dan menamatkan larian sejauh 10km.

Upacara perasmian telah disempurnakan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri V P Shanmugam.

Shanmugam dalam ucapannya menyambut baik penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa di negeri ini demi memupuk semangat kesukanan dalam kalangan rakyat.

“Sangat gembira melihat begitu ramai atlet dari seluruh dunia kembali ke Melaka untuk acara ini.

“Saya berharap kita semua akan terus kekal cergas dan sihat tanpa mengira usia menerusi kejohanan seperti ini,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-28 at 18.16.47
PESERTA melengkapkan rutin renang sejauh 1.5km.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka Sa’ari Basiron berkata, acara sukan seperti itu sangat penting dalam menggalakkan kemasukan pelancong ke negeri ini.

“Ini adalah salah satu acara pelancongan sukan Melaka dan kami amat berbesar hati untuk menarik pelancong dalam dan luar negara dalam usaha mencapai sasaran 5.6 juta pelancong ke negeri ini,” katanya.

Johan keseluruhan 113 OD Triathlon 2022 menjadi milik atlet triatlet negara, Lee Wen Jun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1859
Kongsi :
Previous post Gilap permata Tanjung Bidara
Next post Bersukan sambil ‘cuci mata’
Ubah saiz-+=