Gol awal beri keyakinan kepada pemain Sabah FC tundukkan MUFC

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KOTA KINABALU 6 Mei. – Kejayaan memperoleh gol awal memberi keyakinan buat Sabah FC untuk bermain lebih baik dan menguasai permainan yang seterusnya menghasilkan kemenangan 3-1 ke atas Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) pada perlawanan Liga Super di sini malam tadi.

Ketua jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau telah menerapkan kepada pemain supaya menjadi agresif sedari awal perlawanan bagi menekan pemain lawan untuk memperoleh gol awal dan strategi itu menghasilkan dua gol pada babak pertama.

ANTARA aksi pemain MUFC dan Sabah FC dalam perlawanan malam tadi. Foto-Facebook Sabah FC.

“Pada awal perlawanan kita harus curi gol dulu supaya kita lebih yakin, ini penting kerana Melaka (United) punya pemain yang bagus jadi pemain kita telah menunjukkan permainan yang luar biasa.

“Pemain berjaya bermain mengikut perancangan kita dan tiga mata yang diperoleh sedikit-sebanyak meningkatkan semula keyakinan pemain untuk seterusnya membaiki kelemahan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.

Pada perlawanan di Stadium Likas itu, skuad The Rhinos membuka jaringan seawal minit keenam menerusi Mohd Amri Yahyah sebelum Mohd Azzizan Nordin menggandakan jaringan pada minit ke-17, dan Mohd Amri menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47. Melaka United memperoleh gol tunggal mereka pada minit ke-65.

Kurniawan berkata masih ada kelemahan yang perlu dibaiki oleh Sabah FC menjelang perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada Sabtu ini, terutama dari segi mengawal rentak permainan.

KAPTEN MUFC, Mohd Razman Roslan cuba menyaingi pemain Sabah.

“Pada perlawanan tadi, selepas menjaringkan gol, pemain dilihat memperlahankan tempo yang memberikan ruang buat pemain MUFC bangkit dan peroleh keyakinan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka Zainal Abidin Hassan mengakui kecewa dengan aksi anak buahnya terutama pada separuh masa pertama kerana melakukan kesilapan mudah yang menyaksikan gawang mereka dibolosi dua kali.

“Pemain cuba bangkit selepas itu, namun mereka gagal menyudahkan peluang yang ada,” katanya yang mahu mengenal pasti kehilangan fokus sebagai antara kelemahan anak buahnya pada perlawanan malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post Ketua Armada Kelantan meninggal dunia
Next post Agong zahir tahniah, bangga atas kejayaan Pandelela raih emas di kejohanan dunia
Ubah saiz-+=