Graduan TVET Melaka miliki masa depan cerah

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Negeri Melaka bakal memiliki masa depan cerah untuk mendapatkan pekerjaan.

Ia memandangkan Melaka kekal menjadi destinasi pilihan pelabur industri bagi membangunkan kilang dan meningkatkan operasi mereka di negeri ini.

Memaklumkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia dapat dilihat menerusi nilai pelaburan yang semakin positif saban tahun, pasca COVID-19.

Katanya, pertambahan pelaburan daripada beberapa syarikat termasuk sebuah syarikat elektronik dari Jepun, Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd yang bakal membuka kilang fasa dua di Ayer Keroh Eco Park bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.

“Difahamkan pembukaan kilang baharu fasa dua ini akan membuka 950 peluang pekerjaan baharu pada 2025 dan jumlah itu akan meningkat kepada 1,820 dalam situasi kapasiti penuh pada 2028.

“Ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bahkan turut menambah peluang pekerjaan terutama buat anak-anak lepasan TVET di negeri ini.

“Saya difahamkan Koa Denko juga telah bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian TVET Melaka bagi membuka peluang pekerjaan kepada graduan untuk bekerja dengan syarikat itu,” katanya.

photo_2023-10-17_14-12-09
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berucap pada Majlis Pecah Tanah Kilang Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Ayer Keroh Eco Park, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Ayer Keroh Eco Park, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman; Pengarah MIDA Melaka Jaibalan Harirajan; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Urusan Kao Denko (Malaysia) Sdn Bhd Seiji Ozawa dan lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, setakat Oktober tahun ini, Melaka telah mencapai nilai pelaburan yang amat berjaya dan memberangsangkan.

Namun, katanya, nilai itu akan diumumkan selepas mendapat laporan rasmi daripada MIDA.

“Sudah pasti Melaka akan menjadi destinasi pilihan utama pelabur selepas kita menyediakan kawasan perindustrian baharu di koritor utara Melaka dengan pengambilan tanah sebanyak 2023.4 hektar (5,000 ekar),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1863
Kongsi :
Previous post Kastam rampas barang seludup termasuk rokok, bernilai RM10.3 juta
Next post Melaka terima tambahan pelaburan RM1 bilion
Ubah saiz-+=