Melaka terima tambahan pelaburan RM1 bilion

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Melaka menerima tambahan pelaburan berjumlah RM1 bilion menerusi projek fasa dua kilang pembuatan cip, mikrocip dan alatan elektronik dari Jepun, Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kilang yang sudah bertapak selama 50 tahun di Negeri Melaka itu bakal membangunkan kilang baharu di tapak seluas 8.37 hektar di Ayer Keroh Eco Park, di sini, sekali gus menjadi kilang terbesar syarikat berkenaan di seluruh dunia.

Katanya, kilang baharu itu dijangka siap sepenuhnya pada 2025 dijangka akan membuka 950 peluang pekerjaan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1,820 apabila ia beroperasi dengan kapasiti penuh pada 2028.

“Sejak 50 tahun, kilang ini bertapak di Batu Berendam dan telah mengeluarkan sebanyak 4.3 bilion cip setahun yang mana cip yang dihasilkan dari kilang ini banyak digunakan di dalam komponen kereta, peralatan industri dan peralatan telekomunikasi.

“Untuk tempoh empat tahun akan datang, mereka menyasarkan akan menghasilkan 8.2 bilion cip, mikrocip dan alatan elektronik dalam setahun.

“Terima kasih kepada Koa Denko kerana memberi kepercayaan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan saya meminta Invest Melaka Berhad untuk memberi segala sokongan dan kemudahan yang diperlukan sebanyak pembinaan kilang baharu ini,” katanya.

photo_2023-10-17_14-11-34
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berucap pada sidang media sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Ayer Keroh Eco Park, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Koa Denko (Malaysia) Sdn Bhd di Ayer Keroh Eco Park, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Wira Arham Abdul Rahman; Pengarah MIDA Melaka Jaibalan Harirajan; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad Datuk Ginie Lim Siew Lin; Pengarah Urusan Kao Denko (Malaysia) Sdn Bhd Seiji Ozawa dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1816
Kongsi :
Previous post Graduan TVET Melaka miliki masa depan cerah
Next post Tengkorak, serpihan tulang ditemui berhampiran pantai tambakan laut
Ubah saiz-+=