Kastam rampas barang seludup termasuk rokok, bernilai RM10.3 juta

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – Rokok pelbagai jenama membabitkan nilai cukai berjumlah lebih RM3.8 juta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Restoran Jejantas Ayer Keroh, antara tujuh kegiatan penyeludupan pelbagai barangan ditumpaskan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, daripada tujuh serbuan berasingan itu, satu daripadanya membabitkan rampasan beras berjumlah RM11.94 kilogram (kg) jenama Pran Chinigura Aromatic Rice dalam sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan cukai bernilai RM33,432 April lalu.

Katanya, dua lagi rampasan membabitkan minuman keras di sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Chubadak membabitkan minuman keras bernilai RM535,807.32 pada1 September lalu dan serbuan ke atas sebuah kontena membabitkan barangan sama bernilai RM941,946.17 di Pelabuhan Klang, Selangor pada 2 Oktober lalu.

“Bagi rampasan rokok, serbuan dilakukan ke atas sebuah kenderaan jenama Toyota Alphard sebelum menemukan 160,000 batang rokok pelbagai jenama melibatkan cukai berjumlah RM119,880 di Setia Alam, Shah Alam, Selangor pada 27 Jun lalu.

“Satu lagi serbuan membabitkan lebih 4 juta batang rokok dalam sebuah lori di R&R Perantau Damai, Lebuhraya Segamat – Kuantan, 30 Ogos lalu melibatkan nilai termasuk cukai bernilai RM3,380,960.

“Turut dirampas, rokok pelbagai jenama membabitkan nilai termasuk cukai berjumlah RM1,488,520 dalam sebuah lori di sebuah stesen minyak di Keratong, Pahang 5 September lalu.

“Kes keempat membabitkan rampasan rokok dilakukan ke atas sebuah lori sebelum menemukan lebih 5 juta batang rokok melibatkan nilai termasuk duti berjumlah RM3,802,832 di R&R Restoren Jejantas Ayer Keroh, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan pada 30 September lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam, Ayer Keroh di sini, hari ini.

photo_2023-10-17_14-00-31-fotor-2023101714144
ANTARA rokok dan minuman keras yang dirampas.

Mengulas lanjut, Sazali berkata hasil tujuh serbuan itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai barangan keseluruhannya termasuk cukai bernilai RM10.3 juta.

Beliau berkata, dalam semua serbuan itu, dua lelaki masing-masing berusia lingkungan usia 40-an bekerja sebagai pemandu lori turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Antara modus operandi sindiket penyeludupan ini, kebanyakan barang rampasan diseludup menerusi jalan air di pantai timur sebelum dipasarkan di negara ini.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a),Seksyen 135(1)(d), Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post Lebih 260 spesies biodiversiti marin di Taman Laut Melaka
Next post Graduan TVET Melaka miliki masa depan cerah
Ubah saiz-+=