Graduan UPM harus teruskan hubungan baik dengan universiti – Sultan Sharafuddin

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERDANG, 19 Mac – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa para graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan hubungan baik dengan universiti bagi membantu UPM berada pada landasan yang betul untuk membina generasi yang berilmu dan berwawasan.

Baginda yang juga Canselor UPM bertitah selain menyumbang pada pembangunan pelajar UPM, ia juga sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan warga universiti membantu graduan mencapai kejayaan.

“Terjemahkan slogan “Daripada Alumni kepada UPM” sebagai salah satu usaha untuk bersama-sama membawa UPM ke mercu kejayaan,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UPM ke-45 di sini hari ini.

Istiadat konvokesyen UPM yang bermula hari ini sehingga 24 Mac melibatkan seramai 6,142 graduan merangkumi 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana (1,611), Bacelor (3,564) dan Diploma (483).

Baginda juga berkenan mengurniakan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada Iskandar Zulkarnain Adamulhasza (Bacelor Kejuruteraan Awam Dengan Kepujian), Fakulti Kejuruteraan; Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) kepada Eddy Irwan Sidek (Bacelor Pendidikan Sains Pertanian) Fakulti Pengajian Pendidikan; Anugerah Pelajaran Diraja (Bukan Bumiputera) kepada N. Vaishnavi (Bacelor Sains Matematik Dengan Kepujian) Fakulti Sains; dan Pingat Emas Alumni kepada Siti Nursyamisa Masmos (Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia) Fakulti Pengajian Pendidikan.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin mengucapkan tahniah kepada warga UPM atas kejayaan berada di tangga 143 dalam penarafan QS World University Ranking 2022, serta mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan ranking ke-27 terbaik dunia dalam penarafan UI-Greenmetric World University Ranking 2021.

Turut mengucapkan tahniah sempena ulang tahun ke-50 UPM pada tahun lepas, baginda dalam titahnya percaya dalam tempoh berkenaan, UPM telah memperoleh banyak pencapaian dan kejayaan.

“Beta berharap UPM akan terus memacu kecemerlangan untuk 50 tahun akan datang dengan semangat solidariti yang tinggi dalam kalangan staf, pelajar dan tentunya alumni,” titah baginda.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

713
Kongsi :
Previous post Bekas Pesuruhjaya Suhakam dilantik wakil baharu Malaysia ke AICHR
Next post Dakwa PAS tiada ‘nafsu’ perkukuh MN, perwakilan mahu kerjasama dikaji semula
Ubah saiz-+=