Gudang penyimpanan makanan musnah terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 7 April – Seorang pelajar berdepan detik cemas selepas tempatnya menjalani latihan industri di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, gudang tempat penyimpanan makanan itu musnah terbakar 80 peratus.

Pelajar terbabit yang juga saksi kejadian hanya ingin dikenali sebagai Siti Aishah, 20, berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan dia juga tidak sempat menyelamatkan barang peribadi serta dokumen pengenalan diri miliknya.

Katanya, ketika itu dia baru sahaja tiba di pejabat sebelum terdengar bunyi letupan dan terlihat api berdekatan wayar di penghawa dingin.

“Sebaik ternampak api saya bergegas keluar dan memberitahu kepada dua rakan lelaki yang kebetulan berada di luar dan mereka cuba memadamnya.

“Tetapi api marak dengan cepat, tidak sampai lima minit ia merebak dan saya kemudian menghubungi bomba meminta bantuan,” katanya.

BOMBA memadam kebakaran gudang tempat penyimpanan makanan yang terbakar pagi tadi. Foto JBPM Melaka

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) II Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi sebelum empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, BBP Ayer Keroh, BBP Melaka Tengah dan BBP Tangga Batu bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi api sudah marak lebih 50 peratus dan pasukan bomba melakukan kerja pemadaman selepas diberitahu tiada mangsa berada di dalam premis.

“Operasi pemadaman mengalami sedikit kesukaran dan mengambil masa kerana bahagian bumbung gudang runtuh.

“Sekarang ini kerja ‘overhaul’ masih berjalan dan kita jangkakan api akan padam sepenuhnya petang ini.

“Pasukan forensik bomba sudah dimaklumkan dan mereka akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post PM ajak rakyat terus jaga kesihatan diri, planet
Next post Rangka kanak-kanak perempuan ditemukan
Ubah saiz-+=