Guna kepakaran Thailand tingkatkan populasi Harimau Malaya

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TABOH NANING 15 Ogos  – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menggunakan kepakaran dimiliki Pertubuhan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) dalam usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya di negara ini.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berharap, Teknologi pembiakan terbantu (ART) diamalkan ZPOT mampu meningkatkan populasi Harimau Malaya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Katanya, usaha itu tidak boleh ditangguhkan lagi berikutan negara kini berdepan krisis penyusutan populasi binatang berkenaan.

Jelasnya, berdasarkan kajian antara 2016 hingga 2020, pihaknya mendapati hanya tinggal 150 ekor Harimau Malaya di negara ini berbanding 3,000 dicatatkan pada tahun sebelumnya.

“Penyelidikan untuk membiakkan Harimau Malaya dimulakan sejak 2017 dan sekarang kita mahu memperkasakan lagi menggunakan kepakaran dimiliki Thailand.

“Jika usaha dilaksanakan oleh pusat-pusat terpilih termasuk pusat konservasi di bawah Perhilitan berjaya, kita akan lepaskan semula harimau ini ke habitat asal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar dan bengkel Teknologi Pembiakan Terbantu (ART) di A’Farmosa Resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah ZPOT, Attapon Srihayrun dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat A’Famosa Resort, Datuk Alex Lau.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 13.37.55
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim

Terdahulu, program diadakan selama tiga hari itu melibatkan seramai 100 peserta dari Thailand dan beberapa pengkaji mewakili zoo serta pusat konservasi seluruh negara.

Program itu, dilihat membawa impak kepada pengkaji di negara ini yang berpeluang bertukar pandangan dan berkongsi idea dalam ikhtiar meningkatkan semula populasi Harimau Malaya.

Abdul Kadir berkata, faktor sumber makanan, pemburuan haram dan habitat yang terganggu turut menyumbang kepada penyusutan populasi Harimau Malaya di Malaysia.

Malah katanya, sejak dua tahun lalu hanya seekor anak Harimau Malaya berjaya dilahirkan di negara ini iaitu di Zoo Taiping, Perak.

“Jadi, tujuan bengkel dan seminar ini, kita bawa rakan-rakan strategik daripada Thailand untuk kongsi pengalaman dan kepakaran mereka dan kita cuba gabungkan untuk tingkatkan populasi harimau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

914
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak enam tahun cedera didera bekas teman lelaki ibu
Next post Pelepasan benih udang galah, tambah hasil nelayan
Ubah saiz-+=