Pelepasan benih udang galah, tambah hasil nelayan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SUNGAI RAMBAI 15 Ogos – Lebih 600,000 benih ikan air tawar dan udang galah disasarkan dilepaskan di beberapa sungai utama di Negeri Melaka sepanjang tahun ini dalam usaha berterusan meningkatkan stok perikanan.

Pelepasan anak benih ikan lampam, baung, terbul dan udang galah itu juga mampu membantu meningkatkan lagi pendapatan nelayan sungai di negeri ini selain merancakkan sektor perikanan air tawar.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, usaha memperkayakan sungai Melaka itu dijalankan menerusi Jabatan Perikanan Negeri Melaka.

“Setakat ini bagi 2023 sebanyak 300,000 pelbagai jenis benih ikan air tawar sudah dilepaskan ke perairan di Negeri Melaka, kali ini sahaja 100,000 ekor benih udang galah.

“Sementara itu pada 2021 sebanyak 528,900 ekor benih ikan dan udang galah dengan nilai RM95,280 dilepaskan .

“Manakala, tahun lalu 366,160 ekor benih ikan air tawar dan udang galah dilepaskan di sungai-sungai utama di negeri ini dengan kos sebanyak RM59,127,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelepasan Benih Udang Galah di Perairan Sungai Kesang, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Melaka, Mohd Fauzi Salehon.

Menurutnya, selain menambah dan mengekalkan stok udang di perairan umum, langkah itu juga selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan aktiviti perikanan rekreasi sepanjang Sungai Kesang dengan penduduk sekitar turut memperoleh faedahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1676
Kongsi :
Previous post Guna kepakaran Thailand tingkatkan populasi Harimau Malaya
Next post Motosikal terbabas, penunggang maut terseret
Ubah saiz-+=