Guru JAIM perlu manfaatkan teknologi didik akidah murid – KM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KOTA LAKSAMANA 21 Mei – Guru-guru sekolah rendah agama di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) perlu mengorak langkah dengan memanfaatkan teknologi sebgai medium mendidik anak murid.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, perkembangan dunia siber dan digital yang penuh cabaran perlu digunakan sebaiknya untuk membentuk modal insan masa hadapan agar akidah generasi muda tidak mudah terpesong.

Beliau berkata, suntikan digital dalam ilmu agama yang diberikan amat penting bagi membantu anak muda dalam pemahaman agama Islam.

“Hari ini, tiada siapa yang boleh menghalang maklumat sampai ke tangan anak didik kita kerana dunia siber ada segala-galanya. Ada ilmu yang baik dan tidak baik, ada berita betul dan palsu.

“Peranan guru dalam dunia siber ini amat penting dan besar ertinya untuk membangunkan modal insan.

“Saya yakin ibu bapa dan penjaga memberi keyakinan 90 peratus kepada guru-guru JAIM di negeri ini yang mengharapkan sekolah dapat membentuk anak-anak mereka mempunyai ajaran agama Islam yang sempurna supaya memiliki akidah yang betul dan tidak terpesong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru JAIM Peringkat Negeri Melaka diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta tetamu lain.

Pada majlis itu, seramai 500 guru sekolah rendah agama (SRA) dan Tadika JAIM seluruh negeri diraikan.

Turut disampaikan, Anugerah Tokoh Guru kepada seorang penerima, 146 guru menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), selain 27 guru yang menamatkan perkhidmatan menerima cenderahati khas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post Empat individu tular masak mi segera di stesen minyak didenda RM500
Next post 40 aset Sultan Ibrahim dipamerkan di Melaka
Ubah saiz-+=