Hab keusahawanan di tepi Sungai Melaka bakal dibangunkan

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Sebuah pusat keusahawanan berkonsepkan ‘modern dan trendy’ yang diberi nama Hab Keusahawanan Morten Walk bakal dibangunkan di Kampung Morten, di sini.

Projek yang dikendalikan UDA Holdings Berhad (UDA) bernilai RM8 juta itu akan dibangunkan di kawasan berhampiran Sungai Melaka di atas tanah berkeluasan 1.67 hektar dan dijangka beroperasi Oktober depan.

ILUSTRASI Hab Keusahawan Morten Walk di Kampung Morten. Foto: MR. AzliDengan menyediakan 100 ruang sewaan untuk usahawan meliputi lot berbentuk kabin dan lot promosi untuk perniagaan termasuk makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai dan kedai teknologi maklumat (IT).

Pembangunan itu turut dilengkapi satu unit dewan serba guna yang boleh menempatkan sekitar 500 orang dan 11 kemudahan tambahan seperti ruang seni dan kebudayaan serta pusat riadah kanak-kanak.

Majlis pecah tanah itu telah disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menterinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi UDA Datuk Seri Jalaluddin Alias.

WAN JUNAIDI berharap pembangunan Hab Keusahawan Morten Walk di Kampung Morten akan memperkukuhkan sosioekonomi rakyat dengan mewujudkan rantaian keusahawanan di kawasan itu.

Wan Junaidi dalam ucapannya mengharapkan pembangunan hab keusahawanan itu dapat memperkukuhkan sosioekonomi rakyat dengan mewujudkan rantaian keusahawanan di kawasan berkenaan dan secara tidak langsung menggalakkan usahawan setempat mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Saya ingin melihat usahawan tempatan khususnya usahawan Bumiputera merebut peluang ini dan berniaga di tempat yang lebih menarik dan kondusif dalam usaha meningkatkan taraf perniagaan masing-masing,” katanya.

Dalam majlis sama, Wan Junaidi turut menyampaikan replika cek bernilai RM1.312 juta kepada lima usahawan Bank Rakyat di Melaka yang baru diluluskan pembiayaan iaitu G-Force Security Service Sdn Bhd, R And H Resources, Adanshi Enterprise, Top Liner Enterprise dan Rahayu Mohd Yunus.

Untuk rekod, Bank Rakyat telah membantu 302 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Mikro di Melaka menerusi pembiayaan berjumlah RM11.95 juta.

Bank Rakyat juga meluluskan bantuan kepada 118 usahawan PKS dan Mikro yang terjejas dengan pandemik Covid-19 di negeri Melaka berjumlah RM9.48 juta bagi membolehkan mereka mengekalkan kelangsungan perniagaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1291
Kongsi :
Previous post Polis panggil Najib langgar SOP di restoran
Next post ‘Diserang’ histeria, panjat dinding elak dicekup Imigresen
Ubah saiz-+=