Hab Keusahawanan Morten Walk bakal pacu ekonomi Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 21 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mac – Pembangunan pusat perniagaan baharu berkonsep moden yang dikenali sebagai Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, di sini, dijangka bukan sahaja dapat memperkasakan sektor keusahawanan bahkan memberi nilai tambah kepada sumber ekonomi di negeri ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan hab keusahawanan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dilihat mempunyai potensi besar dalam pelbagai sudut memandangkan ia dibangunkan di kawasan bandar yang mempunyai lokasi strategik di tepi sungai.

WAN JUNAIDI (tengah) bersama Jalaluddin (kanan) merasmikan gimik pelancaran majlis perasmian pecah tanah Hab Keusahawan Morten Walk di Kampung Morten. Foto: MR. Azli

Secara tidak langsung, jelasnya ia turut memberikan impak positif kepada sektor pelancongan Melaka yang sebelum ini sudah cukup terkenal sebagai negeri tarikan pelancong yang mempunyai nilai sejarah dan warisannya.

“Bagi saya, reka bentuk yang akan diperkenalkan itu sendiri sudah cukup menarik, ia kelihatan santai dan berada di tengah bandar serta tepi sungai yang mana rakyat zaman sekarang gemarkan lokasi seperti ini bagi tujuan bersantai dan lepak.

“Jadi, sudah tentu ia akan turut meningkatkan tarikan pelancong kepada Melaka sebuah negeri pelancongan. Ia merupakan nilai tambah kepada segala usaha pelancongan di negeri ini yang sebelum ini terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Saya percaya apabila COVID-19 sudah reda nanti, sektor pelancongan akan kembali meningkat dan keterujaan orang ramai untuk keluar bercuti juga meningkat selepas sekian lama bosan berada di rumah. Jadi, kewujudan hab keusahawanan baharu ini sudah tentu akan membantu lagi pelancongan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh.

Hab keusahawanan bernilai RM8 juta itu akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.67 hektar yang mana projek pembinaannya sudah dibuka sekarang dan dijangka akan mula beroperasi pada Oktober depan.

Ia bakal menyediakan 100 ruang sewaan untuk usahawan meliputi lot berbentuk kabin dan lot promosi untuk perniagaan makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai dan kedai teknologi maklumat (IT) selain dilengkapi satu dewan serba guna berkapasiti 500 orang dan 11 kemudahan tambahan seperti ruang seni dan kebudayaan serta pusat riadah kanak-kanak.

Sementara itu, Pengerusi UDA Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam ucapannya memaklumkan, pihaknya selaku pemilik tanah dan penyedia ruang niaga sedia untuk menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan yang berminat.

Katanya, antara bantuan yang akan diberikan termasuk kadar sewaan di bawah harga pasaran serta insentif kos pengurusan atau rebat sewaan dan manfaat fasiliti bagi menggalakkan usahawan tempatan berniaga di hab keusahawanan itu.

“Semoga ia dapat menjadi pemangkin dalam melahirkan lebih ramai usahawan di seluruh Malaysia selari dengan prinsip perniagaan UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

748
Kongsi :
Previous post Warga emas maut selepas 10 jam bertarung nyawa
Next post JAPERUN Gadek ziarah, bantu mangsa kebakaran
Ubah saiz-+=