Hadiah 9A untuk ibu hidap kanser tahap empat
BUKIT RAMBAI 16 Jun – Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan cabaran dalam hidup, namun ia bukan pematah semangat buat Muhammad Shamil Aiman Norsham,18 memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai itu merupakan antara pelajar cemerlang yang memperoleh 9A dalam pengumuman yang dibuat hari ini.
Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui kejayaan tersebut tidak datang dengan mudah memandangkan dia terpaksa menempuh ujian paling berat iaitu melihat ibu yang tercinta diuji dengan kanser perut tahap 4.
“Kalau ikutkan memang ada banyak cabaran terutama gangguan sepanjang tempoh pembelajaran apabila negara dilanda COVID-19 dan saya juga terpaksa belajar dalam suasana kurang selesa di rumah.
“Tetapi demi mak saya, saya hadap tekanan itu dan saya belajar untuk jadi kuat.
“Motivasi saya ialah untuk mak saya dan adik-adik kerana saya merupakan anak lelaki sulung dalam keluarga dan saya ingin menjadi contoh yang baik untuk adik-adik saya,” katanya yang ditemui ketika hadir pada pengumuman SPM di SMK Bukit Rambai, hari ini.
Muhammad Shamil berkata, tiada rahsia tertentu yang dipraktikkannya sepanjang menduduki peperiksaan besar itu, sebaliknya kejayaan yang diraihnya kini merupakan berkat sokongan dan dorongan keluarga serta guru-guru sekolah berkenaan.
“Kebiasaannya jika di rumah saya banyak mengulang kaji pelajaran sekitar jam 5 pagi, dan selebihnya ia dibantu guru-guru di sekolah yang memberi sepenuh perhatian kepada kami semua,” katanya yang bercita-cita bergelar seorang ahli fisioterapi atau sinematografi suatu hari nanti.
Sementara itu, ibunya, Siti Khajura Badros, 49 menganggap kejayaan anaknya itu sebagai hadiah terindah dalam hidupnya.
Katanya, walaupun anak-anak terpaksa hidup dalam keluarga yang berantakan, selain dia diduga dengan penyakit yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa, namun dia berbangga dengan kejayaan diraih anaknya itu.
“Anak-anak merupakan sumber kekuatan saya. Saya selalu bersoa kalau Allah cabut nyawa saya, biarlah selepas anak-anak habis belajar.
“Mungkin ada hikmah kami diuji sebegini, dia mengajar saya dan anak-anak untuk jadi lebih kuat dan saya tetap bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada kami,” katanya yang kini tidak bekerja dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.