Kes Bella: Hakim nasihat pendakwaan, pembelaan bekerjasama kongsi maklumat

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Hakim Mahkamah Sesyen hari ini menasihatkan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang dituduh mengabai dan menganiaya Bella, remaja perempuan sindrom down, agar bekerjasama dalam berkongsi maklumat berkaitan pengurusan kes termasuk penyelarasan saksi.

Izralizam Sanusi yang mendengar perbicaraan kes itu berkata perkara berkaitan penyelarasan saksi adalah proses biasa dalam pengendalian di mahkamah.

“Sebagaimana kita semua maklum pemilihan saksi-saksi ditawarkan oleh pihak pendakwaan adalah atas budi bicara pihak pendakwaan, bila-bila pihak pendakwaan boleh menyusun (saksi) yang mana boleh dipanggil dan yang mana boleh ditawarkan.

“Saya nasihatkan ya, itu proses biasa… itu adalah perkara asas yang semua orang patut tahu. Budi bicara tersebut adalah urusan pihak pendakwaan,” katanya sebelum perbicaraan kes Siti Bainun Ahd Razali itu bemula.

Terdahulu, Izralizam menyoal pihak pendakwaan mengenai jumlah saksi yang akan dipanggil memberi keterangan dan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas menjawab “lebih kurang 10 saksi”.

Seramai lapan saksi pendakwaan telah memberikan keterangan dalam kes itu dan hari ini saksi kelapan iaitu Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, menyambung soal balas oleh pihak pembelaan.

Sebelum ini, media melaporkan peguam pemerhati kes Bella mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa perkara yang dilihat ‘tidak harmoni’ dalam perbicaraan kes remaja sindrom down itu.

Peguam Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata antara perkara yang dibangkitkan adalah ketidakhadiran kali kedua Bella bagi sesi pengecaman di mahkamah pada Isnin lepas dan pihaknya tidak dimaklumkan oleh pihak pendakwaan lebih awal mengenai ketidakhadiran itu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post UTeM tawar khidmat nasihat pengisian UPU online
Next post Hadiah 9A untuk ibu hidap kanser tahap empat
Ubah saiz-+=