Hadiah RM4,000 untuk ‘keluarga sakinah’ istiqamah solat Subuh berjemaah di masjid

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

PENGKALAN BATU 18 April – Selepas hadiah motosikal dan basikal sebelum ini, Masjid Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu kini bercadang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 kepada ahli kariah masjid.

Pengerusi masjid, Datuk Amzah Osman berkata, wang tunai tersebut ditawar kepada ahli kariah yang istiqamah mengerjakan solat Subuh di masjid selama 40 hari.

Menurutnya, selain istiqamah, ahli kariah perlu memastikan isteri serta anak hadir ke masjid menunaikan solat Maghrib dan Isyak pada tempoh waktu yang sama.

“Selepas beri hadiah motosikal dan basikal ini, kita rancang selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti, kita sambung pula dengan memberi hadiah wang tunai untuk Keluarga Sakinah pula.

“Di bawah konsep ini, suami, isteri dan anak istiqamah menunaikan solat fardu di masjid, kita nak lihat mana ahli kariah yang paling ramai membawa anggota keluarganya ke masjid,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) sempena program Tadarus Al-Quran dan penyampaian sumbangan baju raya anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (PPP) WI daerah Hang Tuah Jaya.

Majlis disempurnakan oleh Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

KALSOM (tengah) dan Amzah (kanan) menyampaikan sumbangan baju raya kepada salah seorang penerima Asnaf anjuran PPP WI daerah Hang Tuah Jaya di Masjid Nur As-Sa’adah, Kampung Pengkalan Batu.

Sebelum ini Masjid Nur As-Sa’adah menarik tumpuan orang ramai apabila menawarkan hadiah empat motosikal berjumlah RM16,000 dan basikal sebanyak 40 buah bernilai RM20,000 kepada anak kariah yang istiqamah solat Subuh dan Isyak selama 40 hari.

Katanya, penyampaian empat buah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali pada 24 April ini.

“Setakat ini, kita sudah selesai serahkan 24 basikal kepada anak kariah yang layak manakala selebihnya dijangka hujung bulan ini.

“Ia merupakan inisiatif pertama pihak masjid dalam mengimarahkan masjid dalam kalangan ahli kariah dan penduduk sekitarnya khususnya pada bulan Ramadan yang menuntut kita memperbanyakkan amalan,” kata beliau.

Kata beliau, hadiah yang disediakan hasil daripada kutipan peribadi, rakan serta saudara mara ahli masjid tanpa mengambil dana masjid itu.

“Alhamdulilah, inisiatif ini berjaya mencapai matlamatnya kerana anak kariah, walaupun sudah mendapat hadiah mereka, tetap ke masjid seperti biasa sehingga ke hari ini.

“Kesungguhan anak kariah ini mendorong kita tubuhkan anggota sukarelawan masjid yang terlibat dengan pelbagai kegiatan masjid misalnya bacaan Yassin berkumpulan dan program kejut sahur yang diadakan seawal pukul 3 pagi,” katanya.

Inisiatif itu menurut Amzah, membuktikan anak kariah masjid itu tidak semata-mata mengutamakan ganjaran upah atau hadiah untuk ke masjid.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1494
Kongsi :
Previous post CUEPACS mohon gaji minimum RM1,800, tampung kos sara hidup masa kini
Next post Indeks Keselamatan Kebangsaan diperkenal hujung tahun ini
Ubah saiz-+=