Sorting by

×

Hakim Sequerah tentukan hari ini sama ada Ahmad Zahid perlu bela diri

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Semua mata akan tertumpu kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pagi ini untuk keputusannya sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atau dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Sequerah dijangka menyampaikan penghakimannya di akhir kes pendakwaan pada 9.30 pagi dengan anggota media berkumpul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seawal 7 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 68, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

Sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperintah membela diri, mahkamah sebelum ini telah menetapkan 18 hari bermula 28 Mac ini untuk mendengar keterangan daripadanya dan saksi pembelaan lain.

Ahmad Zahid didakwa terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Pada 19 Mac lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Ahmad Zahid Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Perbicaraan bermula pada 18 Nov 2019.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post Lelaki maut ditikam isteri
Next post Ahmad Zahid diperintah bela diri atas 47 pertuduhan
Ubah saiz-+=