Hakisan pantai: Dianggarkan RM200 juta kos baik pulih 10 pantai kritikal

AYER KEROH 31 Okt. – Kira-kira RM200 juta diperlukan bagi kerja membaik pulih 10 pantai negeri ini yang terjejas teruk akibat hakisan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, selain peruntukan daripada kerajaan negeri, bantuan daripada Kerajaan Persekutuan juga diharapkan dalam menangani hakisan pantai yang berlaku.

“Permohonan berasaskan spesifikasi kerja bagi 10 kawasan terbabit melibatkan kos kira- kira RM200 juta.

PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau negeri Datuk Seri Utama Idris Haron. Foto Arkib MHI

“Bagi penyelesaian keseluruhan kita mengharapkan bantuan dari Kerajaan Persekutuan melalui kementerian-kementerian terbabit,” katanya.

Beliau berkata,di pihak kerajaan negeri pula peruntukan penyelenggaraan berkala perlu disediakan.

“Ia membabitkan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bagi tujuan kecemasan kita juga ada peruntukan untuk lakukan kerja pembaikan,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi menangani isu hakisan itu daripada terus merebak, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKNM) bersetuju membentuk Jawatankuasa Pemantauan Hakisan Negeri Melaka bagi memantau dan mengkaji punca serta akibat daripada hakisan yang berlaku.

“Jawatankuasa dijangka akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal ini,” katanya.

Views:

101
Previous post Belanjawan Melaka 2021: Rizab pelancongan perlu diwujudkan
Next post Pekerja tempatan diutamakan berbanding pekerja asing