Pekerja tempatan diutamakan berbanding pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 31 Okt. – Cadangan mempertimbangkan pemberian pas sementara kepada pekerja asing dalam sektor perladangan akan dibincangkan secara terperinci di peringkat Kabinet.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat masa ini keutamaan tetap diberikan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu dalam apa jua sektor yang diperlukan.

Bagaimanapun, ujarnya, seandainya tiada pekerja tempatan yang sanggup bekerja di sektor tertentu seperti perladangan, barulah kekosongan itu akan diisi pekerja asing yang sudah berada di negara ini.

“Jika tiada pekerja tempatan yang sanggup bekerja di ladang, barulah kita buka tawaran kepada pekerja asing. Itu pun pekerja asing yang sudah berada di Malaysia. Bukannya kita bawa pekerja baharu dari luar.

KEUTAMAAAN tetap diberikan kepada pekerja tempatan terlebih dahulu dalam apa jua sektor yang diperlukan. Foto unsplash.com

“Saya percaya semua ini tertakluk kepada keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan selepas itu ia akan dibawa ke kabinet untuk keputusan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pekerja warga asing yang telah menetap di Malaysia untuk terus bekerja bagi meningkatkan sektor perladangan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permit sementara itu sedang dipertimbangkan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing dalam industri kelapa sawit dan getah.

Katanya, kebenaran bekerja itu bagaimanapun hanyalah untuk tempoh satu atau dua tahun sahaja membabitkan pekerja asing yang berada di Malaysia akibat penutupan sempadan.

Views:

583
Kongsi :
Previous post Hakisan pantai: Dianggarkan RM200 juta kos baik pulih 10 pantai kritikal
Next post COVID-19: Hospital sementara untuk banduan risiko rendah
Ubah saiz-+=