COVID-19: Hospital sementara untuk banduan risiko rendah

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 31 Okt. – Sebuah hospital sementara disediakan di Kompleks Penjara Sungai Udang, bagi menempatkan banduan berisiko rendah yang positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, dengan adanya hospital sementara itu, ia tidak mengganggu kapasiti dan operasi di Hospital Melaka dengan menempatkan banduan.

Kapasiti hospital sementara itu katanya, mampu menampung antara 60 hingga 80 orang pada satu masa selain dapat diperbesarkan lagi jika perlu.

“Sekiranya ada hasil daripada saringan mereka (banduan) adalah positif, tetapi dalam status risiko rendah ada penempatan disediakan di sekitar penjara.

“Jadi kita tidak akan mengganggu Hosital Melaka kerana di sana hanya boleh menempatkan 14 banduan sahaja selebihnya orang ramai (orang awam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ketiga Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-71 Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Rahmad berkata, dengan adanya hospital sementara itu, pihak penjara boleh mengambil tindakan segera, sekiranya berlaku kenaikan jumlah banduan yang didapati positif wabak berkenaaan.

“Saya juga difahamkan Kompleks Penjara Sungai Udang juga bersedia melakukan pemindahan sekiranya perlu berbuat demikian.

“Sekiranya berlaku juga, penempatan untuk banduan akan dipindahkan ke Penjara Indusri Jasin dan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Alor Gajah,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya berlaku kes dalam jumlah yang besar dalam kalangan banduan sedia ada, pihak penjara mempunyai fasiliti untuk menempatkan kira- kira 700 banduan di dua lokasi terbabit.

Ujarnya, seramai 300 banduan baharu telah menjalani ujian calitan dan mereka perlu melalui proses pengasingan selepas kuarantin.

“Kita masih menunggu keputusan ujian ‘swab test’ yang dilakukan..

“Selain semua, 106 petugas dan kakitangan kini menjalani kuarantin di sebuah hotel,” katanya.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Pekerja tempatan diutamakan berbanding pekerja asing
Next post ‘Jawatan TPM bukan keutamaan saya’ – Ismail
Ubah saiz-+=